Mengingati Hari Ombak Besar Melanda
Tarikh 26 Disember 2004. Hari Ahad. Hari itu juga birthday ketujuh anak saya Nabila. Kami sekeluarga sudah lama merancang menyambut hari kelahirannya in a special way. Lalu beberapa hari sebelum tarikh itu kami sekeluarga pergi ke Pulau Pinang. Tiga kakak isteri saya turut ikut bersama keluarga masing-masing. Jiran kami Sham Nor, isterinya Tini serta empat anak mereka menyertai rombongan.
Together we formed one big noisy group. Just right for a happy occasion. Kami menginap di sebuah hotel berdepan pantai di Tanjung Bungah. Hotel di pantai Ferringhi kami tak dapat. Semua sudah fully booked. Maklumlah musim cuti. Lagi pun harganya kami tak mampu. Terlalu mahal waktu itu.
Birthday party Nabila kami adakan dua hari sebelum tarikh sebenar. Sebab anak sulung saya Nadia dan saya terpaksa balik Kuala Lumpur pada hari Krismas (yakni 24 jam sebelum hari jadi Nabila) untuk kerja. Walaupun birthday party Nabila diadakan di bilik hotel sebelum the actual birthday ia tetap meriah. Paling penting Nabila gembira.
Saya dan anak sulung berada di Kuala Lumpur semasa semuanya terjadi. 26 Disember 2004. Norizan, isteri saya dan dua kakaknya mahu ke Langkawi dari Pulau Pinang. Rancangannya ialah pergi ke Langkawi dengan pantas, shopping sikit lebih kurang, balik Pulau Pinang sebelum petang. Mereka bertiga menaiki feri pagi. Sehingga hari ini isteri saya tidak boleh lupa bagaimana feri seakan berlawan dengan laut membuatnya ketakutan. Beliau tidak tahu mengapa laut sungguh bergelora. Terlintas dalam fikiran feri akan terbalik.
Feri selamat tiba di Langkawi tetapi apa yang isteri saya lihat di jeti amat memeranjatkan. Langkawi bagai dilanda sesuatu. Keadaan mengerikan. Ada bot atas jalan raya. Sekarang kita tahu mengapa.
Isteri saya dan kakaknya dapat beli tiket penerbangan dan balik ke Kuala Lumpur. Keesokan harinya beliau bersama saya menaiki kereta ke Pulau Pinang untuk menjemput anak-anak.
Di Pulau Pinang 26 Disember 2004. Walaupun emak mereka tiada bersama, anak-anak saya were in good hands. Djaga baik oleh makcik mereka iaitu kakak isteri saya yang tidak ikut ke Langkawi. Nama beliau Norliah. Kami panggil Noi.
Pagi itu anak-anak bersama sepupu sepapat serta kawan-kawan berada di pantai depan hotel bermain-main. Seorang sepupu mencadangkan birthday party Nabila diadakan di pantai. Lagi pun hari itu sememangnya tarikh hari lahir Nabila katanya.
Namun dengan tak semena-mena kakak isteri saya melarang. Bukan itu sahaja. Si makcik menyuruh semua budak-budak naik ke bilik hotel. Budak-budak bengang. Tak boleh buat birthday parti satu hal. Tapi mengapa tak boleh mandi laut atau main di pantai? Mengapa mesti diperintah naik ke bilik? Sebenarnya kakak isteri saya sendiri tidak tahu mengapa beliau mengeluarkan perintah demikian. Katanya beliau rasa tidak sedap hati.
Di bilik budak-budak terus bermain. Anak lelaki saya, Akif, berada di balkoni. Tiba-tiba dia memanggil semua orang datang ke balkoni tengok satu barisan air putih. Bergulung. Cantik katanya. Sekarang kita tahu apa yang dilihat.
Air bergulung itu ombak dan semakin besar, datang menghempas pantai dengan ganas. Ombak menghempas juga kawasan kolam renang dan restoren di tingkat bawah hotel. We know the story now.
Hanya beberapa minit terdahulu anak-anak saya, sepupu dan kawan-kawan berada di pantai itu. Bayangkan apa akan terjadi jika mereka masih berada di pantai waktu ombak besar melanda. Apa yang terjadi jika makcik mereka tidak merasa tak sedap hati sekali gus tidak menyuruh mereka naik ke bilik.
Sehingga sekarang kami sekeluarga bersyukur kepada Allah yang menyelamatkan keluarga kami, jiran dan saudara mara kami.
26 Disember 2004. Seorang pemuda bernama Riza Nasser berada di Banda Aceh bersama temannya Chairil. “Meja dan kerusi yang saya duduki tiba-tiba terhentak menurun seolah jatuh beberapa milimeter saat saya sedang mengaduk segelas teh panas. Hentakan diikuti hayunan perlahan,” teringat Riza.
“Ril, gempa!” jerit Riza kepada Chairil yang duduk di hadapannya. “Kau kurang darah mungkin, mana ada gempa,” balas temannya. Tetapi apa yang dikata Riza terbukti benar. Goncangan hebat kemudian berlaku membuat orang termasuk mereka berdua keluar ke jalanan. Ayunan gempa semakin kuat.
Kira-kira 10 minit kemudian goncangan berhenti. Riza dan Chairil mahu pulang. Dalam perjalanan pulang kelihatan kesan gempa. Tiba-tiba berkerumun orang berlarian. Pelbagai kenderaan memecut pantas seolah ada yang mengejar. Yang berlari berteriak “air laut naik, air laut naik, lari!”
Riza melihat air mendekati. Awalnya perlahan tetapi dengan cepat sudah capai paras lutut. “Saya dan Chairil memilih berlari sejauh mungkin untuk menghindar dari air yang berwarna hitam pekat itu. Baru sekitar 50 meter saya berlari air sudah mendekati pinggang. Saya ikut terseret oleh arus yang begitu deras hingga saya dapat berpaut pagar bangunan masjid yang tingginya sekitar satu meter,” kata beliau.
Riza dan Chairil masuk masjid dan naik ke tingkat dua. Tingkat bawah ditenggelami air. Di tingkat dua ramai orang berlindung. Kata Riza: “La ilahha ilallah… Allah akbar… Tuhan Yesus bantulah kami, Sang Buddha selamatkan kami, doa masing-masing. Saya memilih berzikir.”
Berkata Riza dalam hati: “Apakah ini kiamat? Tapi bukankah dalam Al-Quran kiamat disebut terjadi di hari Jumaat? Hari ini kan hari minggu. Mungkin ini kiamat kecil?”
Memendekkan cerita panjang yang menyayat hati, hari-hari berikutnya Riza bersama Chairil membantu warga Aceh mengangkat mayat ke kawasan kering. Ketika itu juga Riza mencari-cari ahli keluarga di dalam himpunan mayat. Alhamdulillah tiada. Semuanya diselamatkan Allah.
Kata Riza, “di tahun-tahun awal saya takut melihat laut, apa lagi diajak ke pantai. Saat merasa gempa saya ketakutan. Bahkan sedikit goncangan saya akan terperanjat mengingat getaran yang mungkin terulang ketika saya sedang menganduk segelas teh panas di kedai kopi depan majid di Banda Aceh pada 26 Disember 2004.” Sekarang 20 tahun kemudian beliau sudah pulih.
Tsunami 2004 ribuan orang dari Indonesia hingga ke Sri Lanka terkorban. Marilah kita berdoa buat semua mangsa dan juga keluarga mereka yang terkesan sehingga ke hari ini.
Pada 2013, anak saya Nadia yang merupakan seorang wartawan pergi ke Banda Aceh untuk membuat liputan sempena ulang tahun ke sembilan bencana itu. Di sana Nadia bertemu Riza yang juga seorang wartawan. Daripada perkenalan itu mereka jatuh cinta dan mendirikan rumah tangga pada 2015. Dua tahun kemudian mereka dikurniakan Dinda Rizkya seorang anak perempuan yang cantik dan bijak.
Kini Nadia, Riza dan Dinda menetap di Jakarta. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/12/mengingati-hari-ombak-besar-melanda.html