Mengapa Marahkan Ismail Sabri
Dalam peningkatan kes Covid-19, tidak perlu kita mencari salah siapa. Sebaliknya, kita perlu mencari dalam diri sendiri apa yang telah kita lakukan untuk membendung wabak ini.
Ini bukan soal lemah atau gagal SOP. Rakyat yang baik tahu apa perlu dilakukan untuk menghalang penularan Covid-19. Kerajaan telah beri garis panduan atau apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah setahun tidak jemu-jemu menyatakan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebagai langkah untuk menyekat Covid-19 terus merebak.
Namun, rakyat dilihat tidak peduli dengan pengumuman dibuat Ismail Sabri. Malah, banyak pula warga maya menyalahkan Ismail Sabri kononnya SOP yang dibuat tidak berkesan.
Setiap SOP bukan sekadar untuk diumumkan, tetapi dipatuhi. Jika ia dipatuhi, insya-Allah ia memberi kesan positif. Jika SOP diabaikan, tentu sekali ia tidak memberi kesan positif. Ia umpama tidak ada SOP.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah ash-Shura, ayat 30).
Kerajaan melalui Ismail Sabri mengumumkan pelbagai SOP agar dipatuhi rakyat untuk kebaikan semua. Namun, ia tidak diendahkan. Malah banyak pula yang mempertikaikan.
Ismail Sabri yang bertindak sebagai jurucakap kerajaan dalam soal Covid-19 dijadikan tempat rakyat melepaskan geram dengan kata caci nista. Satu keadaan yang sebenarnya tidak patut berlaku.
Apa yang ditetapkan adalah untuk kebaikan rakyat. Mengapa payah sangatkah rakyat hendak faham?
Apakah bila kena kepada diri sendiri dan keluarga baharu hendak faham tentang bahaya Covid-19? Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Islam menegah kita mencampakkan diri dalam kebinasaan.
Jika segala usaha telah dilakukan dan perkara buruk masih berlaku, maka bersabarlah. Bersabarlah duhai hati.
Kita amat dianjurkan untuk bersabar dan melapangkan dada atas kehendak takdir Allah SWT kerana apabila kita reda dengan sesuatu yang terjadi, ia akan memberi ruang kepada hati kita melihat perancangan Allah SWT itu adalah amat luar biasa dan Dialah sebaik-baik perancang.
Jika kita tidak sabar dengan takdir Allah SWT sudah tentu kita tidak akan dapat melihat hikmah di sebalik percaturan Allah SWT buat hamba-Nya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2021/05/frd.html