Sop Sambutan Aidilfitri Yang Tular Palsu Ismail Sabri
  Bernama  
Prosedur  Operasi Standard (SOP) mengenai sambutan Aidilfitri yang tular di media  sosial hari ini adalah palsu dan tidak benar, kata Menteri Kanan  (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata kerajaan belum mengeluarkan sebarang SOP mengenai perayaan itu, dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat
"Senarai  SOP itu fake (palsu), tidak betul.... kononnya pada Aidilfitri nanti  rentas daerah tidak dibenarkan, itu tidak benar sama sekali.
"Saya  akan umumkan nanti SOP sambutan itu termasuklah tentang takbir raya,  solat Aidilfitri, kunjung mengunjung dan ziarah tanah perkuburan,"  katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan  Pergerakan (PKP) di Wisma Pertahanan.
Hari ini tular senarai  kononnya SOP Aidilfitri termasuklah program ziarah dan rumah terbuka  tidak dibenarkan, ziarah hanya boleh dalam kalangan ahli keluarga yang  terdekat dan tidak melebihi 15 orang, selain aktiviti rentas daerah  tidak dibenarkan lima hari sebelum perayaan hingga lima hari selepasnya.
Sementara  itu ditanya mengenai peniaga burger di Kelantan yang dikompaun  RM50,000, Ismail Sabri secara peribadi menyifatkan hukuman itu terlalu  tinggi dan tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berkata jenis-jenis  kesalahan dan jumlah kompaun telah dibentangkan dengan terperinci  sebelum ini, dan kompaun RM50,000 adalah berkaitan dengan syarikat.
"Pengeluaran  kompaun adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM)  manakala untuk rayuan pengurangan adalah di bawah bidang kuasa  Kementerian Kesihatan (KKM). 
"Bagaimanapun perkara ini sedang  diambil tindakan oleh KKM, jadi kita tunggulah pengumuman secara rasmi  dari pihak mereka," katanya sambil memberitahu mereka yang dikenakan  kompaun boleh membuat rayuan kepada KKM.
Mengulas mengenai  keperluan melaksanakan semula arahan bekerja dari rumah susulan kerajaan  mengumumkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua  minggu selepas cuti Hari Raya, Ismail Sabri berkata perkara itu akan  dibincangkan bersama pihak berkaitan dalam masa terdekat.
"Sebelum  ini, kita sudah umumkan bekerja dari rumah dan apabila keadaan berubah  dengan kes semakin menurun, kita benarkan untuk bekerja di pejabat  masing-masing termasuk pihak swasta. 
"Dengan keadaan sekarang kes  semakin meningkat, pihak berkaitan (Jabatan Perkhidmatan Awam), MITI  (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) akan umumkan  mengenai perkara ini (bekerja dari rumah)," katanya. 
Semalam,  Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sesi pembelajaran  selepas cuti hari raya Aidilfitri akan diteruskan dengan Pengajaran dan  Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi  bersemuka di sekolah.
Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27  Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan  dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B  (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri  Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan  dan  Putrajaya).- Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/sop-sambutan-aidilfitri-yang-tular.html