Menang 112 Kerusi Dulu Jika Umno Mahu Najib Dibebaskan Melalui Kuasa Politik
Berikutan ucapan Presiden UMNO,
Ahmad Zahid Hamidi pada PAU2023 baru-baru ini berkenaan penegasan untuk terus
membela serta memperjuangkan pembebasan Najib Razak, kemudian disusuli ucapan
beberapa perwakilan, seterusnya diikuti tweet terbaru Zaid Ibrahim yang meminta
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim segera membebaskan bekas Perdana Menteri itu,
ternampak bahawa perkara ini akan terus menjadi agenda yang berpanjangan.
Di mana-mana saja ketika ada peluang dan kesempatan, UMNO
dipercayai akan terus menuntut agar Najib segera dibebaskan.
Zaid yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri
berkaitan hal ehwal undang-undang dan pernah menjadi peguambela Najib dalam tweetnya
berkata, membebaskan Najib adalah “demi rakyat”.
“Ke hadapan Perdana Menteri, anda perlu ubah fikiran tentang
Najib – demi rakyat. Biarkan dia bebas.
“Dalam PRN akan datang ini, (kerajaan) Madani perlu menang dan
anda perlu jadi Perdana Menteri untuk beberapa tahun lagi,” kata Zaid lagi
dalam tweetnya itu.
Tambah beliau, jumlah RM42 juta, iaitu nilai dalam kes rasuah
SRC International yang Najib disabitkan bersalah hanyalah angka yang kecil,
berbanding kes-kes rasuah lain dalam negara ini.
Zaid seterusnya berkata, UMNO kini dalam keadaan lemah dan hanya
Najib yang mampu membantu parti itu menang dalam PRN yang akan diadakan di enam
negeri tidak lama lagi.
Memahami gesaan itu, adalah jelas ia bermaksud Zaid mahu Anwar
menggunakan kuasa politiknya sebagai Perdana Menteri untuk membebaskan Najib
sebagaimana Presiden PKR itu dibebaskan daripada penjara sebaik saja PH
memenangi PRU 2018 lalu.
Meskipun kuasa pengampunan adalah atas budi bicara Agong, tetapi
usul berkenaan boleh dibawa oleh kerajaan melalui Perdana Menteri, selain
seketariat kepada Lembaga Pengampunan adalah sebuah agensi di bawah Jabatan
Perdana Menteri.
Anwar selaku Perdana Menteri dan selaku pihak yang
bertanggungjawab terhadap Jabatan Wilayah Persekutuan atau Kementerian Wilayah
Persekutuan sebelum ini, turut juga menganggotai Lembaga Pengampunan.
Ertinya, melalui kuasa dan kedudukan Anwar itulah yang
diharapkan Zaid dapat digunakan oleh Perdana Menteri untuk membebaskan Najib.
Soalnya, logikkah Najib dibebaskan sekarang?
Sebagaimana ditekankan dalam beberapa tulisan sebelum ini,
keadaan Najib adalah berbeza dengan Anwar dan langsung tidak kena untuk
diusulkan pembebasannya dalam waktu terdekat ini.
Ini kerana beliau belum sampai setahun lagi menjalani hukuman 12
tahun penjara yang telah dijatuhkan keatasnya, berbeza dengan Anwar yang telah
menjalani penjara lebih tiga tahun daripada hukuman lima tahun ketika dipohon
pembebasannya pada 2018 lalu.
Anwar akan menjadi gelak ketawa serta pertikaian dunia jika
mengusulkan pembebasan Najib, bahkan amat bertentangan dengan komitmen beliau
memerangi rasuah yang kerap diulang-ulangnya dalam banyak ucapan terbuka sejak
memegang kuasa.
Memerangi rasuah mestilah turut disertai dengan ketegasan enggan
bertolak ansur terhadap pesalah rasuah yang telah dijatuhi hukuman oleh
mahkamah.
Anggapan bahawa hanya Najib mampu memainkan peranan memastikan
UMNO, seterusnya gabungan parti kerajaan perpaduan memenangi PRN tidak lebih
sekadar andaian tanpa fakta semata-mata.
Najib, ketika mengetuai BN pada PRU13, pencapaiannya adalah
lebih buruk iaitu hanya menang 133 kerusi Parlimen berbanding 140 kerusi
Parlimen pada PRU12 yang ketika itu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi.
Selanjutnya, pada PRU14 tahun 2018, BN di bawah pimpinan Najib
buat pertama kali pula telah hilang kuasa mentadbir negara yang dimulai sejak
merdeka lagi.
Lalu, di mana logik dan munasabahnya Najib didakwa mampu
mencipta kejayaan?
Untuk menang, baik dalam PRN atau PRU16 akan datang, Anwar yang
mengetuai kerajaan perpaduan mesti tampil dengan perkara-perkara yang baik yang
boleh menggembirakan hati rakyat melalui kesepaduan seluruh jentera dan anggota
pentadbiran kerajaan, bukan bergantung kepada personaliti mana-mana individu.
Bagaimana jika setelah Najib dibebaskan, tapi akhirnya UMNO dan
parti kerajaan perpaduan kalah juga dalam PRN, adakah beliau perlu dimasukkan
ke dalam penjara semula?
Tetapi, yang penting sekali, jika ingin mengharapkan Najib
dibebaskan melalui pengaruh politik sebagaimana berlaku kepada Anwar sebelum
ini dan itulah keinginan Zaid, UMNO kenalah menang terlebih dahulu pada PRU16
akan datang.
Dengan UMNO hanya menang 26
kerusi dan melalui BN 30 kerusi, kemudian cuba mendesak Anwar membebaskan
Najib, itu sudah dikira terkeluar daripada norma kewajaran.
Parti-parti yang ada dalam kerajaan perpaduan sekarang tidak
pernah sama sekali menjadikan pembebasan Najib sebagai agenda mereka pada PRU15
lalu.
Malah, jika UMNO dan BN dikira memperjuangkan nasib Najib,
perkara itu dikira telah ditolak rakyat berdasarkan hanya kemenangan 30 kerusi
Parlimen diperolehi pada PRU15 lalu.
Senang cerita, sekadar UMNO berada dalam kerajaan melalui kaedah
menumpang kasih – meminjam ayat Tok Mat, Timbalan Presiden UMNO – tidak memberi
apa-apa justifikasi untuk parti itu memasukkan agenda membebaskan Najib sebagai
sebahagian daripada keutamaan.
Jika mahu mengulangi sejarah
bagaimana Anwar dibebaskan sebelum ini, UMNO dan BN tiada pilihan lain
melainkan mesti menang setidak-tidaknya 112 kerusi Parlimen pada tahun 2027
akan datang, sebagaimana PH berjaya menjadi kerajaan pada PRU14 dahulu.
UMNO dengan 30 kerusi Parlimen sedia ada ini sepatutnya berhenti
dan ada sedikit rasa malu untuk berteruan serta tidak henti-henti menuntut
Najib dibebaskan.
Biar PRU16 akan datang menjadi saksi dan referendum sama ada
rakyat mahu Najib dibebaskan atau kekal dipenjarakan.
Rakyat pasti akan memberikan BN kemenangan sekurang-kurangnya
113 kerusi jika mereka benar-benar mahu Najib dibebaskan.
Lagi pula, dengan Najib dipenjarakan, sudah ada tiga anaknya
muncul di persada politik negara dan membiarkan karier mereka berkembang
sebagai pewaris perjuangan adalah lebih baik bagi UMNO daripada terus berharap
serta bergantung kepada pokok lama yang entah mampu berbuah lagi atau
sebaliknya. –
ShahbudinHusin 15/06/2023.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2023/06/menang-112-kerusi-dulu-jika-umno-mahu.html