Memahami Kuil Hindu
Jika tidak ditangani dengan baik, isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani di tanak milik Jakel tengah ibu kota boleh sahaja berpotensi mencetuskan sesuatu yang buruk. Mujurlah semua sudah kembali terkawal. Suhu panas sudah mereda. Tapak baharu untuk kuil ini telah pun dipersetujui, bahkan tidak begitu jauh dari tapak sekarang.
Akan tetapi cakap-cakap mengenai pembinaan kuil haram di tanah milik persendirian dan kerajaan ini masih berlegar di media sosial. Satu hal yang agak pasti cakap-cakap itu menunjukkan ketidakfahaman masyarakat khususnya yang beragama Islam dalam hal kuil Hindu ini. Hal ini berpunca dari kurangnya dialog antara umat atau penganut agama.
Pada 2020-2022 saya berpeluang mengetuai satu projek penyelidikan yang didanai oleh American Bar Association dengan Iman Research. Projek ini bertujuan memahami minoriti agama di Malaysia. Saya berpeluang menemui penganut Bahai, Kristian, Tao, Orang Asli, Pagan, Buddha termasuklah penganut Syiah Imamiyyah, Bohra, Millah Ibrahim dan Ahmadiyyah.
Dalam satu pertemuan FGD (focus group discussion) dengan pemuka dan juga penganut agama Hindu yang prominen dan juga yang masih muda, kami di tim penyelidik cuba memahami banyak perkara. Salah satu isu yang tentu sahaja kami timbulkan ialah mengenai kuil berselerak di seluruh negara, yang kita perhatikan kadang-kala tumbuh tiba-tiba.
Kami cuba memahami isu, dan dengan penjelasan itu memikirkan solusinya.
Penganut Hindu di negara ini kebanyakannya terdiri daripada etnik Tamil. Kuil awam penganut Hindu ditampilkan dengan binaan kecil tiga dinding berserta koopuram (gapura), sehinggalah ke jenis yang satu batu tanda di bawah pohon. Semua kuil ini mempunyai dua fungsi iaitu untuk upacara dan berkhidmat kepada komuniti. Terdapat empat kategori kuil yang boleh diperhatikan.
Pertamanya ialah jenis ‘katedral’ atau kuil jamek. Ia melayan semua penganut Hindu, tetapi jarang kita temui komuniti yang miskin atau kasta rendah di sini. Biasanya ia besar, agam, dihias mewah, dan ditiru bentuk seni bina kuil yang megah seperti di Selatan India. Berhala Dewa Murugan, Siva dan kadang-kala Maariamman diladeni acap kali dalam sehari. Sami atau ketua sami akan memimpin upacara awam, dan selalu beroleh bayaran untuk memimpin upacara doa yang lebih khusus daripada orang tertentu. Ia menerima dana besar dari hartawan dan selalu juga dikawal-selia oleh satu badan endowmen.
Kedua, kuil komuniti yang melayani pelbagai kasta. Ia didanai oleh masyarakat setempat kadangkala menerusi derma, atau pendanaan awam yang dihebahkan bermusim. Dalam hal ini ia umpama surau untuk masyarakat Islam. Selalunya, berhala sembahan ini adalah Kali. Jawatankuasa kuil akan menjadi jurucakap. Ia akan mengalami perubahan sesuai dengan aspirasi komuniti. Kuil kategori ini terdapat upacara folk yang disadur atau ditiru dari kuil dan penganut di India Selatan. Jemaah kuil sekitar 100-200 orang yang selalunya berbangga dengan kuil mereka. Mereka berusaha mencapai standard yang diingini dengan mengupah agamawan dari India yang berpengalaman dan ‘alim’. Ini demi bersaing ‘pooja’ atau ‘sembahyang’ kuil mana yang lebih menarik. Justeru, ‘community pride’ sangat besar peranannya dalam kuil kategori ini.
Jenis ketiga ialah ‘kuil kasta’ atau ‘caste temple’ untuk melayani keperluan kelas tertentu. Misalnya kelompok chettiar mempunyai kuil persendirian yang lebih eksklusif dan tidak begitu terbuka. Dewa Muniandi biasanya menjadi persembahan. Kuil-kuil begini biasanya akan mengalami pembesaran yang mudah dilihat dari semasa ke semasa.
Pembangunan kuil-kuil di atas selalu dengan hemah, dan berinteraksi dengan etnik atau rumah ibadat lain juga.
Jenis keempat adalah kuil untuk penyelesaian atau krisis khusus. Ini satu kategori yang menarik dan mungkin kurang difahami oleh umat Islam yang literal. Kuil ini berfungsi misalnya untuk merawat atau memberi kesembuhan pesakit, mencari barang hilang, beroleh zuriat, menyelesaikan isu rumahtangga dan bermacam lagi. Kuil ini hidup dengan ‘nazar’. Sami di situ semacam agamawan residen selalunya pengasas kuil tersebut, dan dalam banyak keadaan menjadi semacam seorang ‘religious entrepreneur’ — meminjam istilah pengkaji agama Hindu dari Australia, Marian Aveling. Justeru kuil ini akan beroleh sumber kewangan daripada mereka yang datang untuk berdoa atau memasang hajat. Dewa di sini selalunya Muniandi.
Saya difahamkan kuil kategori empat inilah yang akan muncul berselerakan biasanya untuk memenuhi keperluan masyarakat Hindu lokal. Jika ada cerita keajaiban, ia akan menjadi masyhur dan perlahan-lahan menarik perhatian jemaah dari jauh. Aveling, bekas pensyarah University of Western Australia, pernah menyelidiki kuil sebegini dalam tahun 1978 dengan tumpuan Pulau Pinang.
Kuil kategori empat ini kadang akan ditemui di bawah pohon tertentu, belukar, celah bangunan tinggal atau baru disiapkan, di tebing sungai dan sebagainya. Ia akan membesar sesuai dengan keajaiban yang ditawarkan. Kuil jenis ini menawarkan upacara yang jauh lebih mencabar dengan kepercayaan berencam yang sangat mendasar kepada mitos dan juga bumbu ajaran agama yang lebih kompleks. Sesuai dengan fungsinya ia sangat mistis.
Kadang-kala, atau mungkin acap kali juga ia terbina di atas tanah persendirian atau tanah milik kerajaan. Ia sukar dipantau kerana ia belahan dari komponen agama yang melihat populariti sebagai satu dasar. Oleh sebab ia berfungsi untuk menyelesaikan krisis, merampas atau merobohkannya akan memberi natijah atau kesan emosi yang mendalam. Jemaah di sini juga lebih emosional kerana ia tidak terikat dengan kelas, atau ‘mazhab’ tertentu. Pihak berkuasa dan kerajaan tempatan perlu bersedia memahami bentuk kuil ini dan keresahan yang timbul ekoran sebarang tindakan.
Mengenali jenis kuil dan masyarakat atau penganut yang berkunjung kepadanya sangat penting. Ini akan membolehkan kebebasan beragama kekal terpelihara, dan dalam masa yang sama kita kekal harmoni dan tidak berbalah. Oleh itu dialog sangat penting. Memahami konteks juga sangat mustahak.
Kita tidak boleh membiarkan kelompok ekstrem dari mana-mana agama pun mengambil kesempatan untuk membakar api kebencian dan sebagainya. Akhirnya sikap toleransi dan juga saling mahu belajar akan mengukuhkan peradaban.
Satu hal yang paling utama saya temukan ketika penyelidikan saya dalam tahun 2020-2022 yang didanai oleh American Bar itu ialah umat Hindu di sini mengharapkan mereka dimengertikan. Islam adalah agama rasmi negara ini dan kita umat Islam beroleh dana besar dari kerajaan. Agama Kristian pelbagai jurusan misalnya kita maklumi, dianuti oleh mereka yang lebih hartawan. Namun, agama Hindu dan kuil sebagai rumah ibadat khusus di kategori dua dan empat di atas pula bergantung kepada sosio ekonomi jemaahnya.
Latar sosio-ekonomi ini juga mencerminkan pelbagai faktor yang lebih payah ditafsir secara selapis seperti misalnya status pendidikan. Jadi suka tidak suka, soal kuil haram yang disebut-sebut netizen itu berkait juga dengan komitmen politik untuk memperbaiki status kehidupan masyarakat Tamil, dan Hindu di kawasan terbabit.
Insiden Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman boleh menjadi penataran yang baik dan berkesan untuk sebuah kerangka Madani, dan kebetulan pula masjid yang dicadangkan di tapak kuil itu bernama Madani.
Saya berharap umat Islam, dan pemilik tanah yang mewakafkan masjid tersebut iaitu Jakel dapat memahami pengorbanan budaya besar yang dilakukan oleh penganut dan jemaah Hindu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman ini. Ia dapat menjadi cerita pedoman untuk generasi mendatang bahawa dialog tamadun dan keberagamaan berjaya memadamkan usaha mengapi-apikan bangsa.
Kita perlu saling belajar. Kita belajar untuk hidup rukun bersama-sama dengan lebih damai. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/03/memahami-kuil-hindu.html