Melaka Akan Tetapkan Majlis Graduasi Apresiasi Murid Hanya Di Sekolah
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman (dua kanan), bersalaman dengan calon SPM di SMK Rahmat, Kuala Sungai Baru, hari ini. NSTP/AMIR MAMAT
ALOR GAJAH: Jabatan Pendidikan Melaka akan mengeluarkan garis panduan baharu terhadap pelaksanaan penganjuran majlis graduasi atau apresiasi oleh semua sekolah di negeri ini
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata garis panduan itu termasuk lokasi penganjuran yang mungkin hanya ditetapkan di sekolah, berbanding tempat lain seperti hotel yang menjadi `trend' penganjur ketika ini
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap rungutan serta rasa kurang senang ibu bapa terhadap penganjuran majlis berkenaan yang kerap dilaksanakan di hotel serta restoran mewah
"Saya dapati majlis yang dianjurkan itu seolah-olah menjadi `trend' pada masa kini terutama membabitkan pelajar sekolah rendah yang akan berpindah ke sekolah menengah
"Pada pandangan saya, majlis seperti itu boleh dianjurkan namun bukan secara besar-besaran dan saya tidak menggalakkan ia dianjur di hotel. Justeru, Jabatan Pendidikan negeri akan mengeluarkan satu garis panduan yang menetapkan semua majlis jamuan perpisahan atau graduasi hanya dianjurkan di sekolah dengan skala sederhana dan belanja yang minimum
"Jangan anjurkan program yang boleh membebankan ibu bapa," katanya selepas menyantuni calon SPM Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah dan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Ghazali Ahmad
Media semalam melaporkan, meskipun tidak mampu, ada ibu bapa terpaksa merelakan juga untuk membayar di antara RM150 hingga RM200 semata-mata mahu anak hadir majlis graduasi anjuran sekolah di hotel mewah
Pengguna media sosial, Adrea Abdullah, yang berkongsi pengalaman dan pandangannya menerusi video di Facebooknya, mendakwa jika ada ibu bapa yang enggan bayar akan mengakibatkan anak mereka pula berasa tertekan dan malu kerana tidak menghadiri majlis berkenaan bersama rakan
Beliau turut mendakwa ada sekolah yang mewajibkan murid menghadiri majlis graduasi itu tanpa berbincang dengan waris terlebih dahulu
Tidak berpuas hati dengan keputusan pihak sekolah, beliau mempersoal ketetapan itu kerana seolah-olah meminggirkan suara ataupun situasi semasa dihadapi kebanyakan waris yang tidak mampu kerana perlu mengutamakan komitmen lain yang lebih mendesak
Sementara itu, Rahmad berkata, seramai 12,900 calon SPM 2023 di Melaka menduduki peperiksaan bertulis di 74 sekolah serta 103 pusat peperiksaan, bermula hari ini
Daripada jumlah berkenaan, seramai 11,128 calon adalah dari sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 667 lagi adalah dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
Selain itu, seramai 21 calon pula dari sekolah agama negeri, 242 calon sekolah swasta dan 842 calon persendirian
Beliau berkata, seramai empat calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan
"Di Melaka, terdapat juga 65 calon berkeperluan khas iaitu empat kurang penglihatan (rabun), sembilan kurang pendengaran (pekak dan bisu) serta 52 lain-lain kekurangan fizikal (autisme, kecacatan pelbagai)
"Harapan kami di peringkat negeri, anak-anak ini dapat menjawab peperiksaan dengan baik dan menunjukkan kecemerlangan untuk negeri ini," katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.cikgushare.com/2024/01/melaka-akan-tetapkan-majlis-graduasi.html