Mca Oh Mca
Memulakan penulisan kali ini dengan satu joke yang saya dengar masa berusia lapan atau sembilan tahun pada 60-an. Bercerita si tukang cerita: “Oleh kerana dalam United Malay National Organisation sesiapa pun tidak boleh membantah maka U.M.N.O. bererti U Must Not Oppose.”
Berkata lagi si pencerita: “Oleh kerana pemimpin dan ahlinya gemar tumpang kejayaan projek dan aktiviti yang dijalankan orang lain iaitu rakan mereka, Malaysian Indian Congress stands for May I Come (in)?.”
Disambung dengan Malaysia Chinese Association yang kata si pencerita “parti golongan tauke kaya. Oleh itu MCA bermakna Money Controls All.”
Si tukang cerita kawan bapa saya. Beliau bercerita di hadapan bapa saya dan kawan-kawan yang menganggotai Umno, MIC, dan MCA. Mereka orang Perikatan. Bapa saya sendiri orang Umno.
Mendengar cerita itu mereka semua ketawa. Tiada siapa tersinggung atau kecil hati. Mereka ada sense of humour. Saya yang duduk di bawah ketiak bapa saya turut ketawa. Itu kisah lama dan seperti dikata tadi semasa saya budak. Sekarang saya sudah tua tetapi soal MCA ‘parti tauke’ timbul baru-baru ini.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menjadi tetamu podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan. Saya tidak mengikuti that particular episode, oleh itu apa yang saya tulis di sini berdasarkan laporan media. Apabila perbualan berkisar pembabitan Loke dalam politik, beliau berkata sejak bersekolah sudah tertarik dengan DAP dan tidak pernah berminat menyertai MCA walaupun semasa parti itu kuat.
“Bukan saya tidak suka BN. Saya tidak suka MCA,” kata Loke menjawab pertanyaan Khairy dan Shahril. Mengapa? MCA kata beliau membawa imej ia tidak beri keutamaan pada kepentingan rakyat terutama masyarakat Cina.
“Maksud saya” kata Loke lagi, “itu persepsinya — ia parti tauke, parti untuk orang kaya, orang ada kedudukan dan sebagainya. Saya tak kata itu betul atau salah tapi itulah persepsinya.”
Ingin saya nyatakan semasa bapa saya orang Perikatan, sememangnya MCA dianggotai ramai orang kaya. Apa yang disampaikan pencerita jenaka yang disebut tadi memang betul yakni MCA ‘parti tauke’. Tetapi ini bukan bermakna orang biasa tidak menjadi ahli. Bukanlah rahsia ketika itu tauke dalam MCA banyak menyumbang wang untuk menjalankan projek dan aktiviti Perikatan.
MCA dewasa ini saya tidak tahu sama ada dianggotai ramai tauke. Jika ada tidak pula saya tahu sama ada mereka juga beri sumbangan untuk projek parti macam tauke dalam MCA dulu.
Berbalik kepada persepsi Loke. Walaupun hanya persepsi, MCA tersinggung malah marah. Presiden Wee Ka Siong membidas keras setiausaha agung DAP itu. Saya tidak bercadang mengulangi kritikan kerasnya cuma untuk memendekkan cerita MCA memutuskan tidak mahu membantu kempen Pakatan Harapan (calonnya daripada DAP) pada PRK Kuala Kubu Baharu tempoh hari. Sekali gus mengingkari kesepakatan dalam BN dan semangat kerjasama kerajaan perpaduan. Semua maklum MCA duduk di dalam kedua-dua entiti itu. Ia tidak berganjak dengan keputusannya meskipun diminta berkempen oleh pengerusi BN. Oleh itu ada eloknya MCA meninggalkan BN dan kerajaan kerana jelas tidak sehaluan. Ini pernah saya tulis pada artikel siaran FMT 23 Apr lalu.
Tetapi seperti kita tahu MCA masih kekal dalam BN dan tidak berkempen di Kuala Kubu Baharu. Sekarang PH sudah memenangi kerusi Kuala Kubu Baharu tanpa dibantu MCA. PH khususnya DAP masih menjadi pilihan majoriti masyarakat Cina. Ketidakhadiran MCA tidak dirasai. Ada pemerhati politik berkata mereka tidak pasti MCA boleh menambat hati pengundi Cina walaupun jika ia berkempen di Kuala Kubu Baharu.
Tidak lama selepas keputusan pilihan raya diumumkan Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Lim Lip Eng, dipetik media bahasa Cina berkata “baguslah MCA tidak membantu kempen”. Ditanya Malaysiakini pula apa pesanannya kepada MCA, Lim berkata “sikap angkuh bawa padah. Kita sepatutnya bekerjasama untuk kebaikan negara terutama masyarakat Cina namun anda memilih untuk mengutamakan kepentingan sendiri berbanding rakyat.”
Menurut beliau, PRK Kuala Kubu Baharu membuktikan MCA tidak lagi relevan. Tentunya kata-kata itu akan menimbulkan kemarahan MCA tetapi hakikatnya ia sudah lama kehilangan sokongan masyarakat Cina. Bukan sahaja di Kuala Kubu Baharu bahkan seluruh negara sejak pilihan raya umum 2008.
Persoalannya apa yang akan atau boleh dilakukan MCA sekarang? Sebenarnya ia tidak ada banyak pilihan selain kekal dalam BN walaupun pernah mendapat tawaran daripada Perikatan Nasional. Jelas tawaran dibuat dengan harapan MCA akan membawa sokongan masyarakat Cina kepada PN tetapi setelah apa yang berlaku di KKB saya tidak pasti sama ada that offer still stands.
Pada 8 Mei lalu yakni dua hari sebelum PRK Kuala Kubu Baharu, FMT melaporkan Gerakan selaku komponen Perikatan Nasional bersedia bekerjasama dengan MCA sekali lagi. Kedua parti pernah duduk dalam BN suatu masa dahulu ketika gabungan itu memerintah negara. FMT memetik Presiden Gerakan Dominic Lau berkata partinya terbuka kepada sesiapa yang mahu bekerja dengan PN termasuk MCA jika ia boleh menerima ideology Perikatan Nasional.
Beliau tidak menghuraikan ideologi berkenaan namun umum tahu PN diterajui PAS dan Bersatu dengan parti pimpinan Hadi Awang dianggap pemerhati politik sebagai ‘big brother‘. Secara logik ideologi PN dibentuk dan dirumus kedua-dua parti Melayu itu, manakala Gerakan sendiri dilihat pelbagai pihak bagai melukut di tepi gantang.
Jadi apa yang harus MCA buat? Jika menggunakan analogi sukan, bola di kaki MCA. Tetapi bagi saya istilah paling tepat untuk menggambarkan kedudukan parti itu sekarang: terjebak. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/05/mca-oh-mca.html