Jangan Bertangguh Lagi Sebaiknya Mca Keluar Bn Dengan Segera
Kesimpulan paling mudah yang
dapat dilihat daripada apa yang dinyatakan oleh Presiden MCA, Wee Ka Siong
dalam temu bual podcast KS semalam ialah parti itu seperti sudah jadi orang
asing dalam BN.
Ia bukan saja disebabkan MCA
sendiri semacam menjauhkan diri daripada pendirian BN seperti enggan membantu
calon DAP di Kuala Kubu Bharu, malah pendirian yang dikatakan atas nama BN pun,
misalnya keputusan gabungan itu untuk terus bekerjasama dengan PH selepas
PRU16, tidak dibawa dibincangkan dengan parti itu.
Dengan itu, Wee membayangkan jika BN tetap dengan keputusan untuk bekerjasama
dengan PH yang bermakna bersama dengan DAP pada PRU16 akan datang, maka MCA
tidak teragak-agak untuk bertanding secara sendirian.
“Saya tergamam bila Presiden
UMNO kata BN akan teruskan kerjasama (dengan PH) selepas PRU16, kerana kita
tidak pernah bincangkannya di dalam mesyuarat BN.
“Sejak bila ketetapan ini?
Belum ada, tak pernah dibincangkan pun dan bagi saya ia hanya cadangan Presiden
UMNO,” katanya lagi.
Wee berkata, kiranya UMNO
berdegil untuk tetap ‘cium mulut’ bersama DAP pada PRU16, partinya tidak akan
teragak-agak bergerak solo.
“Kalau sebarang keputusan dibuat secara unilateral (sebelah pihak), MCA akan
berkecuali.
“Kalau sesama kita ada parti
komponen dah lari nak memeluk orang lain ke apa bermaksud MCA akan kekal
sebagai parti walaupun ditakdirkan berpisah dah tak boleh buat apa sebab kawan
kita dah tak setia dengan BN,” tambahnya.
Wee menegaskan, beliau tidak
akan membiarkan MCA menjadi ‘bidak catur’ pihak lain.
“MCA tidak boleh
diperkotak-katikkan sebagai bidak-bidak catur mana-mana pihak… yang saya
inginkan ialah kesetiaan kepada parti keramat kita BN.
“Saya lihat sekarang… orang dah peluk pihak satu lagi. Bagi saya, ia
seolah-olah kita utamakan orang lain.
“Kita duduk dalam satu
keluarga, kemudian jiran kita yang dulunya maki hamun kita sekarang mengintai…
dan kita dalam satu keluarga sebenarnya patut bincang, apa pendirian kita,
keluarga kita macam mana,” ujar bekas Menteri Pengangkutan itu.
Berdasarkan situasi semasa dan
keselesaan Zahid Hamidi sendiri, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa
beliau pasti akan terus membawa BN bekerjasama dengan PH.
Seperti mana matlamat PH untuk
melihat Anwar Ibrahim terus kekal sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua,
Zahid Hamidi juga mahu dirinya kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk
penggal kedua dengan bantuan serta kerjasama PH.
Hanya dengan menyokong Anwar kekal sebagai Perdana Menteri saja membolehkan
Zahid Hamidi turut sama kekal lagi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam hal ini, MCA harus sedar
bila BN ingin terus bekerjasama dengan PH yang ada DAP di dalamnya, ia dengan
sendirinya akan menjadikan MCA sebagai parti yang kecil dan bertanding sedikit
saja kerusi pada PRU16 akan datang.
Oleh itu, pilihan yang terbaik
untuk MCA terus relevan ialah dengan bergerak solo atau berganding dengan
gabungan lain.
Hanya dengan cara tidak bersama
BN saja dapat membolehkan MCA bertanding lebih banyak kerusi dan kemudian
berusaha sehabis baik untuk menang di sebahagian besar kerusi-kerusi yang
ditandinginya.
Dalam hal ini, MCA tidak perlu
tunggu lama-lama lagi untuk memuktamadkan pendiriannya.
Hakikatnya, beliau tidak
mungkin mampu mengubah pendirian Zahid Hamidi sebagaimana telah dinyatakannya
ingin terus bersama PH pada PRU16 dan mengekalkan lagi Anwar bagi penggal
kedua.
Segera umum keluar BN dan
mulakan kerja menghadapi PRU16 akan datang daripada sekarang.
Ini dapat menjamin kemenangan
lebih banyak kerusi mampu diperolehi, sebaliknya kekal dalam BN, tetapi semua
keputusan hanya ikut kehendak Zahid Hamidi, MCA akan “mati berdiri”, manakala
yang akan tegak berdiri ialah DAP. –
ShahbudinHusin 08Mei2024.
5
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/05/jangan-bertangguh-lagi-sebaiknya-mca.html