Mat Sabu Wakil Negara Hadir Kebumi Presiden Iran
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Presiden Iran Ebrahim Raisi pada Perhimpunan Agung PBB di New York November lepas. (Gambar Facebook)KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu akan mewakili Malaysia untuk menghadiri majlis pengebumian Presiden Iran Ebrahim Raisi.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menghubungi presiden Interim republik Islam itu, Mohammad Mokhber, hari ini.
Anwar turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Ebrahim dan Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian, serta delegasi lain yang maut dalam nahas helikopter pada Ahad lepas.
“Saya memaklumkan Malaysia akan menghantar seorang menteri kanan (Mohamad Sabu) ke Iran untuk menghadiri majlis pengebumian Almarhum Presiden Raisi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
“Saya juga sempat mengimbau pertemuan sebanyak dua kali dengan Ebrahim dan Hossein tahun lepas di New York dan Riyadh, dan saya telah memberi jaminan kepada Mohammad bahawa Malaysia akan meneruskan komitmen yang dibuat kepada Iran bawah kepemimpinan presiden sebelum ini.”
Pada Ahad lepas, helikopter yang membawa Ebrahim bersama Hossein dan beberapa individu lain terhempas di kawasan Varzaqan ketika dalam penerbangan pulang daripada upacara perasmian empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.
Susulan tragedi itu, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengisytiharkan tempoh berkabung awam selama lima hari, selain meluluskan pelantikan Mohammad, yang juga naib presiden Iran, sebagai presiden interim.
Anwar berkata, menerusi perbualan telefon itu, Mohammad turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas perutusan budi dan takziah, menyifatkan kedua-dua negara rakan strategik yang menyanjung hubungan politik dan ekonomi yang sangat tinggi.
“Beliau turut berduka atas kehilangan dua orang kenamaan besar dalam kemalangan tragis itu selain meninggalkan pengaruh yang sangat kuat di Iran.
“Di akhir perbualan, beliau memberi jaminan bahawa hubungan baik dan kerjasama dengan Malaysia akan tetap dipelihara lantas diperkukuh,” katanya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/05/mat-sabu-wakil-negara-hadir-kebumi.html