Pandangan hadapan Masjid Huaisheng yang terletak di Jalan Guangta. Jika dahulu, kami tercari-cari mana satu masjidnya sebab reka bentuknya tak seperti masjid di tempat kita. Tapi sekarang lebih mudah kerana sudah ada papan tanda besar tertera ‘Huaisheng Mosque’ di jalan (lihat foto di entri INI). Tanda paling mudah untuk kita kenal pasti masjid ini adalah dengan memerhatikan rumah api bercat putih yang tersergam di dalam kawasan masjid.
Klik foto untuk paparan lebih jelas.Satu lagi perubahan - Masjid Huaisheng kini diwartakan sebagai ‘Maritime Silk Road (Guangzhou) Cultural Heritage Sites’. Masjid ini boleh dikunjungi oleh sesiapa, tidak terhad kepada pengunjung Muslim sahaja
Pintu hadapan masjid
Di pintu seterusnya, terdapat notis makluman buat para pengunjung - ‘do and don’t’. Saya gunakan Google Lens bagi memahami notis makluman ini. Antaranya - perlu berpakaian sopan dan masjid ini tidak dibuka kepada umum pada hari Jumaat
Setelah melewati beberapa pintu, kami tiba di perkarangan Masjid Huaisheng. Bagaikan berada di sebuah taman, tempat ini cantik dengan lanskap tanaman yang dijaga rapi.
Masjid Huaisheng begitu mempesona dengan seni bina bercirikan tradisional Cina
Pintu utama masjid. Pengunjung bukan Muslim tidak dibenarkan masuk ke ruang solat. Di sini dan beberapa tempat lain ada disediakan tabung derma - hulurkan derma bagi penyelenggaraan masjid dan perkembangan agama Islam di sini
Suasana di dalam masjid. Ruang solat muslimah dipisahkan dengan tabir warna hijau. Terdapat sebuah pintu di bahagian belakang untuk ke ruang solat muslimah
Dekorasi ringkas bercirikan budaya Cina dan seni Islam
Dengan menggunakan Google Lens, saya cuba membaca tulisan di tiang besar di hadapan pintu utama masjid. Tapi hasil terjemahannya agak mengelirukan dan berubah-ubah 😄
Ruang pameran ini menempatkan catatan sejarah berkenaan masjid serta perkembangan agama Islam di China dan aktiviti-aktiviti yang telah pihak masjid lakukan. Semasa kunjungan terdahulu, tempat ini tidak dibuka untuk lawatan
Semuanya dalam bahasa Cina, perlu bantuan Google Lens untuk memahami catatan di sini. Hasil pembacaan - ada perkara yang membanggakan melihat perkembangan agama Islam di bumi China dan ada perkara yang membuatkan kami insaf serta menghargai hidup sebagai Muslim di Malaysia
Telaga yang dikatakan wujud sejak zaman dahulu. Kami cuba mengepam air, tapi nampaknya pam tersebut tak berfungsi
Antara pohon besar yang terdapat di sini. Pohon tua ini nampaknya dijaga dengan baik, tiang konkrit dibina bagi menyangga dahannya
Sudut fotografi yang menarik - pintu gerbang bercirikan tradisional Cina dengan latar rumah api
Kami melewati pintu gerbang berbentuk bulatan menuju ke kawasan yang menempatkan rumah api. Deretan kata-kata hikmah atau kata-kata nasihat menghiasi dinding
Menara berbentuk silinder dengan ketinggian 35.46 meter berdiri disamping bendera negara China - menyimpan sejarah Guangzhou yang dikatakan menjadi pintu gerbang awal penyebaran agama Islam di negara China.
Pada mulanya menara ini adalah untuk muazin berazan menandakan masuknya waktu solat bagi umat Islam. Apabila mendengar suara azan tersebut, orang-orang Islam yang berada di sekitar kawasan tersebut akan datang beramai-ramai untuk mengerjakan solat. Pada ketika itu, menara ini terletak betul-betul di tebing Sungai Mutiara (Zhu Jiang), iaitu berdekatan dengan pelabuhan utama yang sibuk dengan kapal dagang dari berbagai pelosok dunia. Biasanya, pada sebelah malam, lampu di puncak menara akan dipasang untuk membantu kapal-kapal yang lalu. Sebab itulah menara ini kemudiannya dinamakan Masjid Rumah Api. [sumber info : malay.cri.cn]|
Kempen Promosi dan Iklan Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua. Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini |