Masjid Kampung Baharu Tertua Di Jerantut Hampir 100 Tahun
Dokumentasi ringkas oleh pelajar tahun akhir, Diploma Seni Bina, POLISAS Sesi Dec 2018 yang lalu. Dokumentasi ini dibuat untuk memenuhi tuntutan subjek Lukisan Terukur (Measured Drawing) yang meminta pelajar mencari dan mengukur semula bangunan lama untuk diwartakan sebagai Seni Bina Warisan. Masjid Lama Kampung Baharu merupakan masjid yang tertua yang pernah dibina di Kampung Baharu, Jerantut, Pahang. Masjid ini telah dibina serta digunapakai pada tahun 1922. Usia masjid ini menghampiri ratusan tahun (97 Tahun).
Masjid lama ini telah dibina oleh seorang tukang kayu yang berketurunan cina dari Melaka. Masjid ini tidak pernah dialih atau dipindahkan, tidak dilanda banjir dan tidak pernah diubahsuai. Tapak masjid ini merupakan tapak asal dari dahulu sehingga sekarang. Masjid ini juga dibina mengikut arah kiblat. Sewaktu ketika dahulu masjid ini amat memberi manfaat pada penduduk kampung untuk mereka melakukan ibadat solat, tempat menuntut ilmu agama dan membaca Al-Quran serta jika berlakunya sesuatu perkara yang perlu dihebahkan, keketuk ataupun beduk akan dipalu untuk memberi pemberitahuan selain menandakan masuknya waktu solat.
Rekabentuk senibina masjid ini mempunyai struktur binaan yang unik iaitu reka bentuk masjid ini menyamai Masjid Demak di Tanah Jawa, Masjid Kampung Laut di Kelantan dan Masjid Kampung Kling di Melaka. Pada masa yang sama, masjid ini mempunyai pengaruh kuat daripada cina seperti dapat dilihat melalui bentuk bumbungnya yang seperti pagoda dan gabungan unsur-unsur seni dan falsafah keagamaan pada bentuk senibinanya. Pembinaan masjid ini menggunakan sistem tebuk dan pasak atau dikenali sebagai tangam yang tidak memerlukan pemasangan paku.
Masjid ini dapat dikenali berdasarkan bentuk bumbung limas yang berbentuk pyramid (bertingkat) menirus ke atas dan diatas bumbung terdapat buah buton (tunjuk langit). Reka bentuk bumbung tirus itu melambangkan Islam, iman dan ihsan. Masjid ini juga memiliki empat tiang utama yang diperbuat daripada kayu Merbau. Tiang-tiang ini juga menjadi penyangga utama bangunan masjid. Pada masa yang sama, bahagian kedua atau puncak bumbung berbentuk pyramidal tersebut disangga oleh empat tiang utama ini. Artikel dan video kredit sepenuh kepada : Arif Syazwan & krew serta pelajar tahun akhir, Diploma Seni Bina, POLISAS Sesi Dec 2018
Post berkaitan : MASJID TUA (LAMA) KAMPUNG BAHARU JERANTUTakuanakpahang.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://akuanakpahang.blogspot.com/2019/08/masjid-kampung-baharu-tertua-di.html