Masak Nasi Lemak Dua Kali Makan
Assalamualaikum WBT
MINGGU ini Iman ada sertai acara sukan anjuran salah satu fakulti di universiti. Minggu lepas, pasukan Iman muncul Johan Pertandingan Bola Jaring antara kelas dalam Fakulti Sains dan Sumber Manusia, kali ini Iman dan kawan-kawan ambil bahagian dalam permainan tradisional kanak-kanak iaitu pertandingan 'Baling Selipar'. Ada lagi ke kanak-kanak sekarang main baling selipar? Sejujurnya, Sk sendiri dulu pun tak main 'Baling Selipar' ni. Ko nak mampus kena getah paip, beranilah!! 🤣
Jadinya, Sk ambil Iman hari Khamis selepas balik dari Senai. Biasanya ambil dia sebelum ke Senai, kan.. tapi, Iman ada latihan. Baling selipar pun nak berlatih ke?? 😆 Oh, tapi tak jadi berlatih sebab petang tu hujan. Kalau budak-budak dulu, dia peduli apa kan, hujan ke, badai ke.. Iman balik untuk cuci baju dan balik semula ke kolej, semalam sebelum tengahari. Nak bawa kawan jalan-jalan tengok matahari terbenam, katanya.
Pak Inche minta masakkan Nasi Lemak untuk makan malam, malam tadi. Sk masak sambal kosong jer. Kalau ibu Sk, akan masak Sambal Ikan Bilis atau Sambal Udang untuk makan dengan nasi lemak tapi di sebelah keluarga mertua, mereka akan masak sambal kosong. Masa baru kahwin dulu, pening jugak macam mana nak buat sambal kosong, hahaha. Satu lagi, wajib ada Telur Lenggang iaitu telur yang didadar nipis-nipis atau tekniknya dengan melenggang kuali. Tu sebab kot panggil Telur Lenggang.
Telur yang sudah dilenggang, akan dipotong pulak bentuk segiempat. Ialah, adik-beradik lapan orang, kan.. jenuh jugak nak melenggang banyak kali tu. Jadi, telurnya dipotong segiempat, ambillah seorang sepotong. Budak-budak sekarang panggil Telur Simkad 🤣
Semasa masak nasi, Sk tenggeklah pengukus atas periuk dan letak dua biji telur untuk buat telur rebus. Tapi, ni kena panggil telur kukuslah kan 😆. Boleh juga kalau nak letak terus telur dalam nasi yang sedang dimasak tapi Sk tak suka nanti nasi tu melekat pada telur. Sebutir nasi tu kan ibarat setitik peluh petani 😆
Masa ceduk beras semalam, fikir, bagus jugak kalau masak lebih untuk sarapan. Jadi, pagi ni, sambil panaskan nasi, Sk tenggekkan pengukus, letak bekas sambal tu, senang sekali arung. Nasi dan sambal simpan dalam peti sejuk jadi taklah ada pembiakan bakteria yang boleh menyebabkan makanan kita basi. Untuk sarapan, Sk buatkan telur lenggang sehelai sebiji sahaja untuk Pak Inche manakala telur mata untuk Sk. Buat juga telur separuh mati masak untuk Pak Inche lepas tu dia kata, lain kali kalau ada nasi lemak tak payah ada telur setengah masak pun tak apa. Elehhh.. kalau breakfast kat hotel tu, kemahen pulak dia makan telur. Telur rebus nasi lemak lain, telur omelete lain, telur separuh masak pun ambik jugak. Kadang siap request dengan chef buatkan telur lenggang. Nganga la chef tak faham apa tu telur lenggang sampai Pak Inche tunjuk cara lenggang kuali tu dengan chef. Sabar aje laaaaa
😂
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sariyusa.blogspot.com/2023/01/masak-nasi-lemak-dua-kali-makan.html