Mana Mungkin Pm Sementara Lebih Lama Daripada Pm 8
Oleh WFAUZDIN NS
Saya cuma mahu mengingatkan bahawa rakyat memilih PH di dalam PRU14 lalu kerana kita sebut kalau kita menjadi kerajaan, Tun M akan menjadi PM sementara menanti Anwar bebas dari penjara dan boleh berpolitik semula.
Rakyat tahu ini, dan sebab itu rakyat tiada kesangsian untuk memilih PH. Rakyat sanggup tutup mulut dan lupakan sejarah silam Tun M asalkan PH menang dan akhirnya Anwar menjadi PM.
Kalau Tun M dianggap hanya PM ‘sementara’, maka tempuh dua tahun untuk Tun M itu lojik dan munasabah. Tun M sendiri mengaku sewaktu ditemubual oleh RTM bahawa beliau hanya akan menjadi PM selama dua tahun sahaja. Tempuh itu cukup buat beliau kerana beliau telah berpengalaman menjadi PM sebelum ini.
Tempuh sepenggal adalah lima tahun. Maka, wajar dan tepat sekali dua tahun untuk Tun M dan tiga tahun atau dua tahun setengah pula untuk Anwar. Anwar mesti menjadi PM lebih lama tempuhnya dari Tun M kerana Kerusi PM itu asalnya memang diperuntukkan untuk Anwar. Tun M hanya diberi ‘pinjam’ oleh PH untuk seketika.
Kalau Tun M bercadang mahu menjadi PM sehingga selesai Persidangan Apec pada bulan November ini, maka Tun M dilihat berkhidmat lebih kurang dua tahun setengah sebagai PM.
Manakala, baki lagi sebelum habis penggal adalah dua tahun setengah. Tidak mungkin PRU15 akan berlaku genap 5 tahun. Maka, baki yang mungkin Tun M akan tinggalkan untuk Anwar lebih kurang dua tahun sahaja sebelum parlimen dibubarkan. Itu pun kalau lidah Tun M tidak terbelit lagi seperti sebelum ini.
Apakah PM ‘sementara’ ini lebih lama menjadi PM berbanding PM sebenar yang diingini oleh rakyat iaitu Anwar Ibrahim? Tidak mungkin. Kami boleh tunggu Tun M sehingga Mei 2020. Dua tahun setengah ke tiga tahun lagi adalah untuk Anwar. Tolong jangan tamak.
Wahai pemimpin-pemimpin PH, jangan sesekali lupa kepada janji. Jangan mudah terpesona dengan jawatan sekarang. Jangan lupa siapa yang mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat sejak tahun 1998. Jangan kerana diberi jawatan di dalam Kabinet, maka tergamak kamu khianati kepercayaan rakyat.
Hari ini, kami di bawah masih yakin dengan kamu. Kami sanggup buat apa saja untuk angkat kamu sehingga berada di posisi sekarang. Hargailah kami sebagaimana kami hargai kamu dahulu. Jangan memulakan sesuatu yang akan menimbulkan kebencian dan kejijikan kepada kami. Kami tegur dan kritik kamu di atas sana adalah kami sayang kepada PH. Jangan sampai perasaan itu hilang dari kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/26086