Malaysia Tak Saman Eu Larang Guna Minyak Sawit
FMT Reporters
Malaysia dan Indonesia mengeluarkan lebih 85% minyak sawit di seluruh dunia. PETALING JAYA: Malaysia memutuskan tidak memfailkan saman di Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) ke atas larangan penggunaan bahan api bio berasaskan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU), kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok di Brussels.
Beliau dipetik Reuters sebagai berkata, Putrajaya sebaliknya akan cuba meyakinkan EU untuk mengubah layanannya terhadap komoditi itu dalam kajian semula yang dijadualkan pada 2021.
Tahun lalu, Suruhanjaya Eropah memutuskan penanaman kelapa sawit menyebabkan kemusnahan hutan besar-besaran, oleh itu ia tidak patut dianggap bahan api pengangkutan boleh diperbaharui dan penggunaannya sebagai bahan api pengangkutan akan disingkirkan secara berperingkat-peringkat mulai 2024.
Julai tahun lalu, Kok dilaporkan berkata, Malaysia berhasrat memulakan kes di WTO terhadap larangan EU menjelang November lalu.
Indonesia berbuat demikian pada Disember lalu, tetapi Malaysia tidak mengikut langkah itu.
“Kita memang ada hasrat ini, tetapi kita fikir sebelum datang ke Eropah, kita tidak patut memfailkan saman itu tergesa-gesa.
“Ini adalah apa yang kami beritahu Indonesia juga,” katanya kepada Reuters di Brussels semalam.
Kok yang menemui Pesuruhjaya Tenaga EU, Kadri Simson pada Rabu berkata, kelapa sawit Malaysia lebih mesra alam berbanding dakwaan pengkritiknya.
Kerajaan berkata, litupan hutan di Malaysia kekal lebih 50% dan hasil tuaian setiap hektar melebihi minyak lain seperti kacang soya dan biji sesawi.
Penggunaan bahan api bio oleh EU meningkat, tetapi minyak sawit terus berkurangan. Tahun lalu, EU menggunakan lebih 7 juta tan dengan kira-kira 65% untuk tenaga.
Indonesia dan Malaysia, yang mengeluarkan lebih 85% minyak sawit di seluruh dunia, bercadang membincangkan isu itu bersama EU.
Kok berkata, beliau mahu perbincangan itu dipercepatkan.
Malaysia percaya ia akan menemui pasaran baru, tetapi pembeli minyak sawit terbesar dunia, India pada bulan lalu meminta pengimportnya mengelak membeli komoditi itu dari Malaysia selepas Putrajaya mengkritik tindakan New Delhi ke atas Kashmir dan undang-undang baru kerakyatannya.
Kalyana Sundram, ketua pegawai eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia, berkata perselisihan faham itu akan diselesaikan, tetapi pasaran turut memainkan peranan untuk menarik balik pembeli India selepas Mac ini.
Katanya, pembeli berdepan premium sehingga AS$20 setan minyak sawit Indonesia dengan cukai eksport yang akan dikenakan apabila harganya mencecah had ditetapkan.
“Itu tidak berdaya maju bagi jangka panjang berdasarkan kuatiti yang mereka perlukan. Cuma tunggu masa untuk India kembali mencari harga terbaik.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/malaysia-tak-saman-eu-larang-guna.html