Pakistan Tidak Dapat Membeli Sawit Malaysia Seperti India
Penganalisis: Pakistan kurang wang, permintaan dalam negeri untuk beli lebih banyak minyak sawit
Pakar ekonomi dan penganalisis berkata, Malaysia tidak harus terlalu berharap pada janji Perdana Menteri Pakistan Imran Khan untuk membeli lebih banyak minyak sawit daripada negara ini.
Mereka menyuarakan keraguan mengenai janji untuk membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia itu kerana Pakistan kekurangan wang dan pemintaan dalam negerinya juga lemah.
Pensyarah di Fakuti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya Nazari Ismail berkata, janji Imran itu kedengaran janggal dan mungkin dibuat “hanya untuk mengambil hati Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad”.
“Makanan bukanlah sesuatu yang boleh ditambah dengan cepat. Anda tidak boleh suruh rakyat Pakistan makan lebih banyak capati atau krim atau makanan lain yang menggunakan minyak sawit bagi membantu Malaysia meningkatkan eksport minyak sawitnya,” katanya kepada FMT.
Nazari berkata, satu cara untuk mengatasi masalah pengurangan import minyak sawit daripada India sejak Disember lepas ialah dengan mengeksportnya ke negara ketiga yang berurus niaga dengan India.
“Negara itu harus mempunyai perjanjian dagang dengan India, misalnya firma dari Singapura, yang kemudiannya mengeksport semula minyak sawit ke India,” katanya.
India mengenakan sekatan umum ke atas import minyak sawit bertapis dan dilaporkan secara tidak rasmi meminta peniaganya tidak membuat pembelian dari Malaysia.
Sumber memberitahu Reuters bahawa langkah itu merupakan tindak balas negara itu terhadap kritikan Mahathir berhubung undang-undang kewarganegaraan baru India dan dasar New Delhi mengenai Kashmir.
Pada Rabu, ketika mengunjungi Mahathir di Putrajaya, Imran berkata, negaranya akan menambah import minyak sawit bagi menbgimbangi kerugian Malaysia di pasaran India.
Penganalisis Sathia Varga berkata, jika Pakistan mengotakan janjinya untuk menambah import minyak sawit dari Malaysia sekali pun, ia tidak mencukupi untuk mengisi lompang yang ditinggalkan oleh pasaran India.
Sathia dari firma Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura berkata, pada 2019, Pakistan membeli 1.08 juta tan minyak sawit daripada Malaysia, sedangkan India membeli sebanyak 4.40 juta tan.
“Pakistan perlu membeli tambahan sebanyak 3.309 juta tan bagi mengimbangi kerugian itu sepenuhnya,” kata beliau.
Katanya, pertambahan sebesar itu tidak mungkin terjadi kerana pasaran Pakistan lebih kecil berbanding India dan ia tidak memerlukan sebanyak itu minyak makan.
“Selain itu, 80% minyak sawit Pakistan datang dari Indonesia, dan isu utamanya ialah harganya yang lebih rendah.”
Katanya, peningkatan signifikan eksport minyak sawit Malaysia ke Pakistan hanya akan berlaku sekiranya ia menikmati kelebihan tarif berbanding Indonesia.
Pakar ekonomi bebas, Hoo Ke Peng berkata, Pakistan merupakan pengimport minyak sawit Malaysia yang ke-3 terbesar, tetapi ia mungkin tidak mempunyai kemampuan untuk membeli jumlah tambahan minyak sawit.
“Mereka mahu beli, tetapi ada wang,” katanya kepada FMT, merujuk kepada jumlah hutang dan liabiliti luar negara itu pada suku pertama 2019 sebanyak AS$106.9 bilion apabila negara itu membuat lebih banyak pinjaman, terutama daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi meningkatkan kemampuan pembayaran hutang luarnya.
Dalam pada itu, bekas dekan Institut Perbankan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, Pakistan dan Malaysia boleh merundingkan sesuatu antara 2 negara itu.
“Kita boleh beli beras, daging dan makanan lain daripada mereka dan mereka boleh membayar bakinya selepas membeli minyak sawit,” katanya merujuk kepada “netting”, istilah perakaunan yang bermaksud mengimbangi baki.
FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/02/06/pakistan-tidak-dapat-membeli-sawit-malaysia-seperti-india/