Malaysia Singapura Negara Berkembar Hubungan Baik Diteruskan Tun M
SINGAPURA: Malaysia berharap untuk meneruskan hubungan baik dalam bidang ekonomi dan saling menghormati dengan Singapura, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri, yang tiba di sini hari ini untuk melakukan lawatan rasmi dua hari, menyifatkan Malaysia dan Singapura sebagai saudara kembar, kecuali “kembar yang tua agak besar sedikit daripada adiknya dan sedikit berusia.”
“Namun kita berjaya hidup bersama-sama dalam suasana begitu harmoni,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari untuk meraikan beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, oleh rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong serta isteri, Ho Ching di Istana, di sini.
“Bukan sesuatu yang lazim untuk kita melihat negara yang pada mulanya bersatu, kemudian berpisah dan masih berupaya untuk bekerjasama serta bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya.
Dr Mahathir turut mengambil peluang untuk merakamkan penghargaan Malaysia atas sumbangan yang dihulur Singapura semasa negara itu berdepan krisis kewangan baru-baru ini.
Menurut beliau, Malaysia dan Singapura saling bergantungan.
“Singapura tidak mempunyai kawasan pedalaman tetapi perlu menganggap Malaysia sebagai kawasan pedalamannya, dan begitu juga, sejak sekian lama, Malaysia perlu bergantung kepada Singapura bagi eksport serta import disebabkan Singapura telah berkembang menjadi sebuah pelabuhan hebat yang setanding dengan pelabuhan ternama di dunia,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Malaysia memerlukan khidmat pelabuhan Singapura dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan perdagangan serta industri.
Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas China dan jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2017 adalah RM220.88 bilion, mewakili 12.9 peratus daripada dagangan global Malaysia.
Mengenai lawatannya itu, Dr Mahathir berkata beliau “sangat gembira” untuk melakukan lawatan berkenaan dan berbincang dengan Lee tentang hubungan kedua-dua negara serta cara untuk terus meningkatkannya.
Beliau menegaskan Lee adalah pemimpin kedua melawat Malaysia selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.
“Memanglah ia bukan lawatan rasmi, tiada perbarisan atau pemeriksaan kawalan kehormat, namun sambutan yang diberi adalah sambutan yang benar-benar ikhlas.
“…dan kami mengharapkan hubungan akrab ini, yang bermula sebaik sahaja kerajaan baharu mengambil alih, akan terus menjadi rapat serta saling bekerjasama. Saya harap lawatan ini akan memperteguhkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara dan terus berkembang.
“Hubungan ini berkembang beriringan agar setiap kita dapat meraih manfaat daripada dua jiran yang bukan berselisih faham, tetapi, ada ketikanya saling bersaing namun lebih banyak menjalin kerjasama,” katanya.
The post Malaysia-Singapura Negara Berkembar, Hubungan Baik Diteruskan – Tun M appeared first on MySuara.Net.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mysuara.net/berita/malaysia-singapura-negara-berkembar-hubungan-baik-diteruskan-tun-m/