Malam Kota Buku 2025 Pkb Perkukuh Ekosistem Buku Negara Himpun 1 000 Pemain Industri

Cyberjaya, 19 Disember 2025 – Perbadanan Kota Buku (PKB) hari ini menghimpunkan kira-kira 1,000 pemain industri perbukuan dari seluruh negara menerusi penganjuran Malam Kota Buku 2025, sebuah majlis penghargaan yang memperkukuh ekosistem buku negara, memacu budaya membaca, dan menyokong agenda pembinaan bangsa berilmu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Sebagai malam penghargaan industri yang bersifat inklusif dan berwibawa, Malam Kota Buku 2025 menampilkan Anugerah Kota Buku, pengumuman hala tuju strategik industri perbukuan melalui PKB, serta ucapan penting oleh YB Menteri Pendidikan sekali gus menjadikannya acara yang signifikan merangkumi pendidikan, budaya membaca, dan ekonomi kreatif.
YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan, yang menyifatkan penganjuran ini sebagai langkah konkrit membina Malaysia sebagai bangsa pembaca, selain menjadi pentas kebangsaan yang meraikan buku dan merangka hala tuju industri perbukuan negara.
Malam Kota Buku 2025 menyampaikan pengiktirafan merangkumi seluruh rantaian ekosistem perbukuan, termasuk pemain industri, sekolah, komuniti bacaan, dan rakan strategik, bagi menggalakkan kecemerlangan, inovasi, dan kerjasama rentas sektor.
Antara pengiktirafan utama ialah Anugerah Kota Buku kepada pemain industri cemerlang, pengiktirafan Mini Kota Buku yang memperluas akses bacaan di sekolah termasuk di Sabah dan Sarawak, serta Anugerah VIP Buyers 2025 yang mengiktiraf penggunaan efektif Geran Per Kapita sekolah melalui platform Book Capital.
Johan Anugerah VIP Buyers 2025, Sekolah Kebangsaan Inarad, Sabah dipilih berdasarkan penglibatan aktif dan penggunaan strategik Geran Per Kapita bagi pembelian bahan bacaan, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan digital PKB dalam memperkasa sekolah luar bandar.
Malam Kota Buku 2025 turut mengetengahkan pencapaian PKB sebagai agensi bawah Kementerian Pendidikan yang membangunkan prasarana dan pelaksanaan program bacaan secara tersusun. Dalam ucapan Menteri Pendidikan, PKB diiktiraf sebagai rakan strategik yang bukan sahaja menganjurkan program fizikal, malah membangunkan prasarana digital perbukuan bagi melaksanakan inisiatif kerajaan secara “teratur, telus dan berkesan”, agar akses ilmu tidak terhenti kerana jarak.
Pencapaian PKB turut diperkukuh melalui kejayaan platform Book Capital, yang telah menerima pengiktirafan ASEAN Records sebagai First Unified Digital Book City Platform selepas mencatat pertumbuhan terpantas dengan 1 juta pengguna dalam tempoh 10 bulan, sekali gus mengesahkan keupayaan PKB membangunkan prasarana bacaan digital bertaraf serantau. Anugerah tersebut disampaikan oleh wakil ASEAN Records kepada disampaikan kepada YB Fadhlina Sidek bagi pihak PKB.
Melalui penganjuran Malam Kota Buku 2025, PKB menyerlahkan komitmennya untuk terus memperkukuh industri perbukuan negara melalui pendekatan inklusif, digital, dan berteraskan dasar demi memastikan akses ilmu yang saksama dan lestari untuk semua lapisan masyarakat.
The post Malam Kota Buku 2025: PKB Perkukuh Ekosistem Buku Negara, Himpun 1,000 Pemain Industri appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/22/malam-kota-buku-2025-pkb-perkukuh-ekosistem-buku-negara-himpun-1000-pemain-industri/