Maksud Iffah Dan Afaf Dalam Doa Rasulullah Saw
SOALAN:
Apa maksud 'iffah dalam hadith yang menyebut: “Nabi SAW berdoa dengan memohon petunjuk, ketaqwaan, sifat ‘iffah dan kekayaan.”
JAWAPAN:
Kami mulakan dengan menyebut hadith yang dimaksudkan. Daripada Ibn Mas’ud R.A, Nabi SAW biasa membaca doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى ، والتُّقَى ، والعَفَافَ ، والغِنَى
“Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketaqwaan, sifat ‘iffah dan kekayaan.”
Takhrij Hadis
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim (2721), al-Tirmidzi (3489), Ibn Majah (3105), Ahmad dalam al-Musnad (3950), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (198), al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Ausat (6/88) dan Ibn Hibban dalam Sahihnya (900).
Imam al-Tirmidzi menyebut bahawa kedudukan hadith ini adalah hasan sahih. Syeikh Syu'aib al-Arnaut dalam takhrijnya ke atas al-Musnad menyatakan, sanad hadith ini adalah sahih berdasarkan syarat Imam Muslim.
Makna Sifat Iffah
Di dalam hadith di atas, antara yang dimohon oleh Nabi SAW adalah sifat ‘iffah. Ia bermaksud sifat menahan diri daripada perkara yang berbentuk kemaksiatan dan yang ditegah. Imam al-Nawawi menjelaskan: “Al-Afaf (الْعَفَافَ) dan ‘iffah (العِفَّة) bermaksud menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang tidak dibolehkan.” (Lihat: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 17/41)
Hal ini juga seperti mana disebut oleh Ibn ‘Allan yang menyatakan: “Al-‘Afaf (الْعَفَافَ) bermaksud terhindar dari segala maksiat dan keburukan.” (Lihat: Dalil al-Falihin, 7/275)
Al-Qadhi ‘Iyadh pula menjelaskan: “Al-‘afaf adalah menghindari dari perkara-perkara yang ditegah serta menahan diri darinya.” (Lihat: Ikmal al-Mu'lim bi Fawa'id Muslim, 8/224)
Hal yang sama juga disebut oleh al-Hafiz Jalal al-Din al-Suyuti. (Lihat: al-Dibaj 'ala Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 6/70)
Antara maksud lain ‘iffah (العِفَّة) adalah dicukupkan rezeki serta terpeliharanya diri daripada perkara yang haram. Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahannya menjelaskan: “Al-‘Afaf (الْعَفَافَ) bermaksud al-Kafaf (الكَفَاف) (kecukupan rezeki). Sebahagian ulama' menyebut, ertinya adalah al-‘iffah (العِفَّة) (terpeliharanya diri dari maksiat). Sebahagian ulama’ menyebut, ertinya keterpeliharaan diri dari yang haram. Dinukilkan dari Abu al-Futuh al-Naisaburi, katanya: “Al-‘Afaf (الْعَفَافَ) bermaksud kesolehan jiwa dan hati.” (Lihat: Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 5/1721)
Manakala jika diteliti dalam susunan permintaan dalam doa tersebut, telah didahulukan dengan memohon petunjuk dan ketaqwaan, kemudian barulah sifat ‘iffah (العِفَّة). Mengenai hal ini, Ibn ‘Allan menjelaskan: “Al-Huda (petunjuk) didahulukan kerana ia adalah landasan, dan ketaqwaan dibangunkan di atasnya. Sedangkan digandingkannya al-‘afaf (الْعَفَافَ) kepada al-huda (الهُدَى), ini merupakan penggandingan sesuatu yang khusus kepada sesuatu yang umum, dalam rangka menegaskan hal yang khusus tersebut. Kerana nafsu memiliki kecenderungan untuk mengajak kepada lawan dari al-‘afaaf (iaitu maksiat dan keburukan). Maka seorang itu hendaklah memohon pertolongan Allah SWT untuk meninggalkannya.” (Lihat: Dalil al-Falihin, 7/275)
Kesimpulan
Al-Iffah (العِفَّة) sepertimana yang dinyatakan oleh ulama' adalah bermaksud terpeliharanya diri daripada perkara-perkara maksiat dan yang ditegah, serta diberikan kesolehan hati dan jiwa.
Marilah sama-sama kita memohon pertolongan kepada Allah SWT agar diberikan sifat iffah. Kami tutup dengan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى ، والتُّقَى ، والعَفَافَ ، والغِنَى
“Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat ‘iffah dan kekayaan.”
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2020/02/maksud-iffah-dan-afaf-dalam-doa.html