Maksim Mrvica Kembali Ke Kuala Lumpur Selepas 19 Tahun Untuk 2023 The Collection Tour
MAKSIM MRVICA KEMBALI KE KUALA LUMPUR SELEPAS 19 TAHUN UNTUK 2023 THE COLLECTION TOUR | Assalammualaikum semua! Maksim Mrvica kembali ke Malaysia! Ruby sangat mengagumi pemain piano dari Croatia ini sebab keunikan melodi yang dipersembahkan tidak jemu di dengar dan bagaimana kelajuan jari jemari memainkan alat muzik piano.
Perasaan sangat nostalgia menyelubungi Ruby apabila dapat bertemu Maksim semasa di sidang media sehari sebelum persembahan 2023 MAKSIM THE COLLECTION KUALA LUMPUR. Maksim Mrvica merupakan pemain muzik kegemaran Ruby pada tahun 2003 zaman sekolah menengah. Hahahaha.
Ruby didedahkan dengan piano ketika berusia 10 tahun dan tidak meneruskannya ke peringkat yang lebih tinggi kerana dunia muzik di Malaysia agak mahal. Jadi, apabila Ruby dapat mengikuti melodi muzik dari pemain piano antarabangsa yang konsisten serta fokus sampai masa kini ia memberi satu harapan bahawa melodi dan alat muzik piano boleh diangkat sebagai kerjaya murni.
MAKSIM MRVICA KEMBALI KE KUALA LUMPUR SELEPAS 19 TAHUN UNTUK 2023 THE COLLECTION TOUR
Album Crossover pertama EMI Classical “The Piano Player” pada tahun 2003 merupakan kejayaan besar bagi pemain piano versatil Maksim Mrvica. Melalui album tersebut, Maksim memenangi Double Platinum di Hong Kong. Platinum di Taiwan, Singapura dan negara asalnya Croatia. Emas di Malaysia, China dan Indonesia.
Apa maksud Crossover ni? Buat pengetahuan anda, pemain piano Maksim Mrvica membawa genre Classical Crossover Music yang bermaksud melodi yang dimainkan oleh beliau adalah percampuran pelbagai genre. Ia tidak tertumpu kepada melodi dari piano sahaja. Ia ada campuran alat muzik yang lain. Sebagai contoh apabila anda mendengar muzik dari album beliau, anda boleh dengar muzik dari alat muzik Violin, Viola, Cello, Double Bass, Drums, Guitar dan Bass Guitar.
Maksim Mrvica merupakan pemain piano dari Croatia. Pada 14 Februari 2023 adalah siri jelajah beliau di Kuala Lumpur sebelum meneruskan jelajah ke destinasi seterusnya di Sungapura. Tiket Maksim 2023 The Collection Asia Tour masih boleh didapati dan ini lah masanya untuk anda bertemu dengan beliau. Maksim Mrvica adalah pemain piano crossover yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kebetulan hari konsert solo Maksim eksklusif pada sambutan Hari Kekasih yang diraikan oleh masyarakat non Muslims pada 14 Februari.
Kali terakhir Maksim Mrvica ke Malaysia adalah pada tahun 2004 di Stadium Putra Bukit Jalil yang sekarang dikenali sebagai Axiata Arena. Setelah 19 tahun, akhirnya beliau kembali semula ke Malaysia untuk buat persembahan kepada peminatnya di Kuala Lumpur.
Lokasi ini dipilih sendiri oleh Maksim untuk 2023 Maksim The Collection Tour. Maksim bukan sahaja mempersembahkan karya klasik terbaiknya, tetapi juga memainkan pelbagai hits yang digemari oleh peminatnya di Malaysia
Maksim bersemangat menyambung semula jelajah Asia selepas berehat dari bulan September hingga Disember 2022 untuk menghabiskan masa bersama keluarga tersayang dan ia adalah hadiah terbaik buat dirinya. “Flight of the Bumblebee" menjadi popular di seluruh dunia sejak dua dekad yang lalu dan mencipta "Maksim Piano Trend".
MAKSIM MRVICA CLASSICAL CROSSOVER PIANIST
Boleh dikatakan Maksim Mrvica adalah insan yang tidak kenal erti penat. Fokus dan tekad dalam kerjaya. 2 tahun Pandemik COVID-19 menyerang seluruh dunia tidak menghentikan Maksim Mrvica terus memberi persembahan hebat kepada peminatnya.
Keazaman Maksim Mrvica terhadap muzik dan cintanya terhadap piano telah menjadi semangat hidupnya. Ramai yang tidak tahu bahawa Maksim berasal dari Croatia, sebuah negara kecil yang cantik di Eropah.
Semasa membesar, Croatia berada dalam peperangan yang berterusan. Walaupun dalam keadaan yang tidak begitu baik, Maksim mempunyai keazaman mutlak kepada piano. Seperti keinginan yang kuat, ia telah membawa kepada kejayaan beliau sebagai pemain piano dunia yang kita dapat lihat pada hari ini iaitu Maksim Mrvica.
Sebagai tambahan kepada kemahiran pianonya yang mengagumkan, Maksim telah menjadi wakil terbaik seorang pemain piano yang melintasi sempadan dengan tidak menetapkan had kepada muziknya. Dia telah memecahkan sempadan muzik klasik popular dan bermain piano ke tahap yang baru, menjadikan konsertnya bersesuaian dengan semua generasi. Pendengaran dan visual yang mengasyikkan memberi pengalaman seumur hidup.
Maksim amat menyukai cuaca dan iklim Malaysia, dan dia suka melakukan sukan luar. Dia adalah atlet Ironman Triathlete yang boleh menghabiskan berjam-jam mendaki gunung, berenang, dan mengakhiri harinya dengan latihan piano tanpa rasa letih dan kekal segar bertenaga.
Maksim Mrvica menghargai keindahan semula jadi dan makanan di Malaysia dan berharap dapat meluangkan lebih banyak masa untuk berehat serta mencari inspirasi menghasilkan album terbarunya apabila kembali ke Malaysia lagi
Jumpa anda semua di Dewan Plenari, Kuala Lumpur Convention Center pada 14 Februari 2023, 8 malam. Jom kita beramai-ramai meraikan malam penuh keajaiban persembahan dari Maksim Mrvica yang versatil
Jika anda mencari acara konsert pemain alat muzik antarabangsa atau Maksim Mrvica, pastikan anda melihat pengumuman dari Harmonie International. Mereka adalah penganjur terbesar untuk acara muzik begini dan mahir dalam mengendalikannya.
MAKSIM | HARMONIE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ruby.my/2023/02/maksim-mrvica-kembali-ke-kuala-lumpur.html