Mahukah Orang Umno Undi Calon Dap
(Malaysia Gazette) – Tiada siapa yang dapat memastikan sama ada ahli-ahli UMNO bersedia untuk mengundi calon-calon DAP yang bakal bertanding atas nama Kerajaan Perpaduan pada enam pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Gambaran sebenar tentang sikap ahli-ahli UMNO yang dikatakan berjumlah 3.5 juta orang hanya akan diketahui setelah kajian dibuat selepas selesai PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta semua ahli UMNO mentaati arahan parti termasuk dari segi mengundi calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang menjadi sekutu dalam Kerajaan Perpaduan.
Walaupun tidak dinyatakan secara langsung, kenyataan Ahmad itu adalah bagi menjawab soalan yang ditanya wartawan berkaitan kesediaan ahli-ahli UMNO mengundi calon-calon PH yang diwakili oleh DAP.
Sekiranya formula status quo digunakan, calon-calon DAP akan bertanding mempertahankan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, 16 kerusi di Selangor, 11 kerusi di Negeri Sembilan dan dua kerusi di Kedah.
Secara keseluruhan, ahli-ahli UMNO diminta mengundi calon-calon DAP yang mewakili PH dan bertanding atas nama Kerajaan Perpaduan di kesemua 48 kerusi DUN terbabit.
Malah tidak mustahil mereka akan dikerah melakukan gerak kerja kempen pilihan raya bagi meyakinkan pengundi-pengundi Melayu yang dahulunya menyokong Barisan Nasional (BN) untuk beralih arah menyokong DAP.
Memang di atas kertas, jumlah 3.5 juta ahli merupakan angka yang agak besar namun boleh dikatakan sebahagian besar daripada mereka tidak lagi aktif. Yang aktif mungkin hanya kira-kira 50 peratus.
Bukan rahsia lagi bahawa sebilangan ahli-ahli UMNO sendiri tidak mengundi calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan beberapa PRU sebelumnya.
Mereka berbuat demikian antaranya sebagai simbolik protes terhadap calon yang bertanding atau tidak bersetuju dengan keputusan berkaitan dasar parti yang dibuat oleh pucuk pimpinan.
Jika sebelum ini ada ahli UMNO yang tergamak menolak calon BN, terdapat kemungkinan mereka akan melakukan tindakan serupa terhadap calon DAP yang sebelum ini menjadi musuh ketat parti.
Selain itu, perkembangan terkini melibatkan isu kalimah Allah semakin mengikis kepercayaan orang Melayu dan umat Islam untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.
Tugas berat untuk meyakinkan orang Melayu dan umat Islam bahawa Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai DAP tetap komited mempertahankan Islam kini terletak di bahu UMNO.
Apa sahaja pendekatan yang ingin digunakan UMNO dalam melaksanakan peranan tersebut mesti mengambil kira hakikat bahawa rakyat khususnya orang Melayu kini tidak mudah dikelirukan dengan retorik kosong.
Sekadar mengadakan konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri yang bakal dihadiri penyokong setia parti sahaja difikirkan tidak memadai.
Pada masa yang sama, DAP juga perlu berusaha lebih keras dan lebih serius dalam memenangi hati ahli dan penyokong UMNO.
Kesan parut di hati mereka yang tergores akibat tindak-tanduk dan kebiadaban beberapa pemimpin DAP selepas PRU14 dahulu masih berbekas.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2023/05/20/mahukah-orang-umno-undi-calon-dap/