Mahkamah Dimaklum Status Pekebun Haram Sebagai Penceroboh
azrulhakimiePenanam durian Musang King tiada locus standi fail permohonan

		  			 			KUANTAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu 110 penanam durian Musang  King di Raub tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang)  untuk memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman  terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang supaya mereka mengosongkan  kebun.
Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila  Ishak yang mewakili enam responden yang dinamakan dalam permohonan itu  berkata penanam terlibat tidak diberikan sebarang hak atau lesen  pendudukan sementara (TOL) mahupun mempunyai hak milik terhadap tanah  yang telah diusahakan dengan tanaman tersebut.
Keadaan ini, menurut Noor Fadzila menjadikan status mereka sebagai penceroboh atau setinggan.
Beliau berkata pemohon juga tersilap  apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan  kehakiman terhadap notis yang dikeluarkan pentadbir tanah.
“Pemohon seharusnya memfailkan notis  rayuan kerana notis bukanlah suatu yang disyaratkan undang-undang untuk  dikeluarkan tetapi sebagai makluman kepada pemohon atau orang yang  terlibat apabila ada kesalahan dilakukan yang mana dalam kes ini berlaku  pencerobohan terhadap tanah kerajaan.
“Kerajaan negeri mengeluarkan notis yang  memberikan peluang lebih kurang sebulan untuk pemohon mengosongkan  tanah walaupun sebagai pemilik, mereka boleh terus masuk dan membuat  execution,” hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman  Ab Aziz.
Noor Fadzila berkata jika pemohon  terkesan dengan notis penggosongan itu di bawah Seksyen 418 Kanun Tanah  Negara 1965, mereka boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan pentadbir  tanah Raub dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh notis diserahkan  kepada mereka.
Sehubungan itu, beliau berkata mahkamah  tidak perlu memberikan kebenaran kepada pemohon kerana permohonan itu  tidak mempunyai asas, sia-sia dan menyalah guna proses mahkamah.
Sementara itu, peguam Siew Choon Jern  berkata status pemohon sebagai setinggan perlu dihujahkan semasa  perbicaraan penuh dan bukannya pada peringkat permohonan kebenaran yang  sedang berlangsung.
“Pada peringkat ini kami telah  menunjukkan beberapa merit supaya mahkamah dapat memberi kebenaran  tersebut kerana memberikan kebenaran tidak bermakna anak guam kami telah  menang. Kami perlu mengemukakan segala alasan kami untuk pertimbangan  hakim,” katanya.
Zainal Azman menetapkan 9 Disember ini  untuk keputusan terhadap permohonan itu dan membenarkan perintah  penggantungan terhadap notis penggosongan yang sepatutnya berakhir hari  ini, disambung sehingga tarikh sama.
Siew juga memaklumkan mahkamah bahawa  salah seorang pemohon daripada 111 penanam kumpulan pertama yang  memfailkan permohonan itu telah memutuskan untuk tidak meneruskan  permohonan tersebut.
Penanam durian terlibat memfailkan  permohonan itu dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah  Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan  negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan  Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.
Selain untuk menyemak arahan pengosongan  tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984,  pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap  keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak  penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada  syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.
Pemohon juga mahu menyemak keputusan  pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan  mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang  dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/mahkamah-dimaklum-status-pekebun-haram.html