Felda Chuping Berpotensi Dibangun Sebagai Pelancongan Agro
Borhan Abu Samah 
 Kawasan  Felda Chuping memiliki pelbagai potensi pelancongan agro yang wajar  diterokai untuk kerjasama pelaburan di samping dipromosikan untuk tujuan  pelancongan.   Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra  Jamalullail selepas berkenan meninjau kawasan Projek Integrasi Ternakan  Felda Chuping (PITC). 
Keberangkatan baginda adalah sempena penyempurnaan aktiviti ‘MAIPs  Peduli Bilangan ke 54 bagi tahun 2020’ yang bermula dan berakhir di  perkarangan Dewan Besar Felda Chuping.
Tuanku Raja Muda disambut oleh Pengurus Besar Wilayah Felda, Izham Ramli dan Pengurus Felda Chuping, Wan Saiful Izwan Wan Salim.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Penasihat Undang-Undang Negeri,  Mohd Radhi Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd  Noor.   
Antara lokasi yang dikunjungi ialah kawasan pembiakan lembu yang pada  ketika ini berjumlah 350 ekor dan juga biri-biri sebanyak 300 ekor.
Baginda juga berkenan meluangkan masa melihat takungan kolam ikan dan  juga ‘Shah Stable’ yang memelihara kuda dan juga arnab yang diusahakan  oleh generasi kedua peneroka Felda berkenaan diketuai oleh Shahidi  Shahidan yang dibuka untuk kunjungan orang ramai.
Terdapat juga ladang getah dan juga tanaman 2,500 pohon pokok mempelam harumanis Perlis di dalam kawasan Felda berkenaan.
   Terdahulu daripada itu Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah di  tiga buah rumah asnaf terpilih dari kalangan masyarakat setempat bagi  menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs selain menerima taklimat  mengenai perkembangan mutakhir projek baik pulih Masjid Nurul Huda Felda  Chuping dan juga pembinaan Klinik Kesihatan baru di situ.
Seusai program tersebut, baginda diiringi anakanda sulung, Puteri  Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail berkenan berangkat menghadiri  resepsi perkahwinan Nur Nadia Hanim Muhamad Nazri dengan pilihan hatinya  Abdullah Khan Shan yang berasal dari Islamabad, Pakistan dalam satu  majlis dihoskan ibu bapa pengantin perempuan iaitu Muhamad Nazri Annuar  yang merupakan rakan sama sekolah baginda dan Musitah Kamis di Restoran  Abahmama Route79 milik mereka di Lot 2686 Bukit Keriang Pulas, Jalan  Felda Chuping. – SM
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/felda-chuping-berpotensi-dibangun.html