Mahkamah Dengar Hujah Anak Samy Vellu Cabar Teman Wanita Bapanya 15 Jun
(Dari kiri) Vell Paari, E Meeriam Rosaline dan Samy Vellu.KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 15 Jun untuk mendengar hujah S Vell Paari berhubung permohonan seorang wanita yang mendakwa adalah isteri S Samy Vellu untuk mencelah saman beliau yang meminta mahkamah menentukan kesihatan mental bapanya
Peguam RSN Rayer yang mewakili wanita itu, Meeriam Rosaline Edward Paul, 60, berkata Vell Paari akan mengemukakan hujahan melalui peguamnya David Mathews di hadapan Hakim Mohd Sofian Abdul Razak
Terdahulu, mahkamah menetapkan 20 Mac sebagai tarikh Vell Paari membuat hujahan berhubung isu itu namun ditangguhkan susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan
Vell Paari memfailkan saman terhadap Samy Vellu pada 2 Dis tahun lepas memohon perintah mahkamah supaya siasatan dilakukan bagi menentukan keupayaan mental Samy Vellu dan sama ada bekas presiden MIC dan bekas menteri Kerja Raya itu berupaya untuk menguruskan diri serta hal ehwalnya
Dalam saman itu, Vell Paari memohon perintah suatu tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan diadakan di bawah Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 ke atas bapanya bagi mengetahui jangka masa bapanya mengalami kecelaruan mental
Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berupaya memberi arahan kepada peguam supaya bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) selain menentukan jenis harta yang dimiliki bapanya
Bekas setiausaha agung MIC itu turut memohon supaya Consultant Neuropsychiatrist dan Ketua Neurobehavioral Medicine Services dari Penang Adventist Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mental defendan
Katanya, jika defendan didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan dirinya serta hal ehwalnya akibat masalah itu, beliau memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya (plaintif) dan peguam C Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal estet defendan
Sekiranya mahkamah membenarkan semua individu itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa, plaintif turut memohon supaya mahkamah menentukan kuasa ahli jawatankuasa tersebut, membuat peruntukan bagi kos dan perbelanjaan jawatankuasa serta membuat peruntukan bagi saraan jawatankuasa tersebut
Vell Paari juga memohon perintah supaya beliau dilantik sebagai wakil litigasi defendan dalam mana-mana prosiding undang-undang membabitkan bapanya, harta atau kepentingannya
Sementara itu, Vell Paari menerusi afidavit sokongannya berkata ibunya, R Indrani, 79, dan adik perempuannya, S Mangayerkarasi, 56, akan memberi sokongan terhadap saman itu dan akan mengesahkan perkara tersebut dalam afidavit sokongan mereka
Plaintif berkata konsultan psikiatri dari Victoria, Australia, Prof David Ames mengenal pasti bapanya mengalami demensia pada 2017 dan diberikan ubat untuk merawat kesihatannya
Katanya, konsultan psikiatri dari Pantai Hospital, Dr Bharathi Vengadasalam turut menyediakan laporan bahawa Samy Vellu mengalami gangguan neurokognitif major dan tidak berupaya menguruskan kewangan dan estet, menguruskan ubat serta membuat keputusan
Beliau berkata hasil penemuan kedua-dua konsultan itu mendapati bapanya mengalami kecelaruan mental dan tidak memiliki keupayaan fizikal dan mental menguruskan dirinya dan hal ehwalnya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2020/05/mahkamah-dengar-hujah-anak-samy-vellu.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+Mu