Macau Scam Guna Tandatangan Ketua Polis Pahang Dikesan
azrulhakimie  'Jika enggan bekerjasama, waran tangkap akan dilaksanakan'

		  			 			KUANTAN -Polis Pahang mengesan taktik baharu sindiket Macau Scam, yang  menggunakan surat palsu kononnya ditandatangani Ketua Polis Pahang bagi  memperdayakan mangsa, untuk memindahkan wang ke akaun mereka.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil  Hassan berkata, surat yang menggunakan kepala surat Polis Diraja  Malaysia (PDRM) itu mendakwa, penerimanya perlu memindahkan wang atau  ditangkap atas alasan terlibat dalam penyeludupan dadah dan penggubahan  wang haram.
“Surat itu juga mendakwa jika penerima  enggan bekerjasama, maka waran tangkap akan dilaksanakan serta-merta dan  semua aset serta akaun bank miliknya akan dibekukan selama dua tahun  lima bulan, selain direman 45 hari,” katanya pada sidang media di Ibu  Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
Abd Jalil berkata beliau sendiri telah  melihat dokumen palsu itu yang diterima menerusi WhatsApp telefon  pintarnya pada 3 petang, Isnin lalu dan polis telah berjaya mengesan  seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, yang dipercayai menerima  surat itu bagi membantu siasatan.
Pada perkembangan lain, Abd Jalil  berkata polis mengesan aktiviti penjualan tiga bidang tanah milik  Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang di laman sosial Facebook dan  Mudah.my tanpa kebenaran pihak terlibat.
Katanya, kegiatan itu disedari Penolong  Setiausaha Kanan Perbadanan SUK Pahang, yang menerima mesej WhatsApp  pada 10.30 pagi, 28 Dis lalu daripada seorang individu yang ingin  mendapatkan pengesahan mengenai penjualan tanah di Jerantut, kira-kira  150 kilometer dari sini.
“Tanah itu yang terletak di Ulu  Tembeling dan Pedah kononnya untuk dijual pada harga RM11,000 seekar.  Semakan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  membolehkan kita mengenal pasti seorang broker tanah berusia 30-an,  untuk membantu siasatan.
“Kita sedang menyiasat jika lelaki  berkenaan terlibat atau ada pihak lain yang menggunakan namanya bagi  memperdayakan orang awam untuk membeli tanah tersebut. Kita minta mereka  yang ada membeli atau ditawarkan tanah di situ menerusi media sosial,  menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya. – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/01/macau-scam-guna-tandatangan-ketua-polis.html