Macau Jangan Ambil Mudah Isu Jho Low Kata Kpn
   Bernama

Jho  Low bukan saja dikehendaki pihak berkuasa bagi pembabitannya dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi merupakan saksi penting perbicaraan  membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak. (Gambar AP)KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Macau perlu mengambil berat notis merah  dikeluarkan Interpol berhubung ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho  atau Jho Low yang dikesan berada di Macau baru-baru ini, kata Ketua  Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata, ini berikutan Jho Low dikesan membuat beberapa  transaksi perniagaan di Macau dan pihak berkuasa negara berkenaan pula  didapati enggan memberi kerjasama serta tiada maklum balas.
“Mereka sepatutnya mengambil berat hal ini kerana Jho Low (disyaki)  merupakan seorang penjenayah dan perompak yang menyebabkan Malaysia  mengalami hutang negara berbilion ringgit,” katanya kepada Bernama  selepas majlis serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Siasatan  Jenayah Komersial di Bukit Aman hari ini.
Hamid berkata, pihaknya sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa  negara itu kerana isu Jho Low ini merupakan isu jenayah dan tidak  mempunyai kaitan dengan isu politik.
“Negara kita menjadi mangsa dan akibatnya RM50 bilion hasil negara  hilang. Oleh yang demikian, saya minta pasukan polis dari negara  berkenaan untuk membantu kita, apa salahnya? Kita ada Interpol, boleh  bersama-sama berbincang dan bertanggungjawab memburu penjenayah ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador“Itu yang saya harapkan… mereka ini mesti mempunyai naluri sebagai  seorang pegawai polis…bukan keluar kenyataan kata maklumat kami tidak  tepat (mengenai keberadaan Jho Low) sedangkan Jho Low dikesan melakukan  transaksi perniagaan di Macau,” katanya.
Katanya, beliau tidak akan berputus asa dalam membawa pulang Jho Low ke muka pengadilan.
“Macau tidaklah sebesar negara Siberia, ia hanya 1 koloni kecil, susah sangat ke hendak tahan Jho Low?
   “Sekiranya saya gagal (membawa pulang Jho Low) saya minta kepada yang  akan menggantikan saya (ketua polis negara) selepas ini perlu  meneruskan usaha buru Jho Low,” katanya.
Kontrak ketua polis negara itu dijadual tamat pada Mei tahun depan.
Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran  tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia  Development Bhd (1MDB).
Sejak itu pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pulang lelaki berkenaan.
Jho Low bukan saja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi pembabitannya  dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting  perbicaraan membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/macau-jangan-ambil-mudah-isu-jho-low.html