Luka Pembedahan Caesarean Rasa Gatal Ini 5 Cara Menanganinya
Orang kata penjagaan ibu bersalin secara pembedahan caesarean lebih sukar dan mencabar berbanding bersalin normal. Mungkin dari segi luaran, ibu bersalin caesarean kelihatan lebih santai kerana boleh duduk bersila dan tidak perlu berkepit ketika berjalan berbanding ibu bersalin secara normal.
Namun hakikatnya, jika dilihat dengan lebih teliti, luka pembedahan sebenarnya perlu mengambil masa yang lama untuk sembuh kerana lapisan hirisan yang dilakukan oleh doktor semasa proses melahirkan bayi adalah berlapis-lapis dan dalam.
Pembedahan caesarean adalah proses di mana hirisan dilakukan di perut (laparatomi) dan rahim (histerotomi) untuk mengeluarkan bayi.
Biasanya selepas pembedahan, ramai ibu yang mengalami kegatalan di bahagian bekas pembedahan. Namun, sudah tentu anda tidak boleh sesuka hati menggarunya. Ini yang patut anda lakukan bagi mengatasi rasa kegatalan tersebut.
1. Jika anda diserang rasa gatal, usahakan untuk tidak menggaru di kawasan bekas pembedahan kerana boleh menyebabkan luka.
2. Lebih baik digosok sahaja secara perlahan-lahan.
3. Sebaik-baiknya, anda mandi menggunakan sabun berbentuk gel yang mempunyai kandungan lembut bagi mencegah terjadinya alergi di kawasan bekas pembedahan.
4. Anda juga digalakkan melakukan senaman yang bersesuaian. Dengan melakukan gerakan-gerakan senaman, biasanya rasa gatal yang timbul akan berkurangan. Malah, membantu mempercepatkan aliran darah dan membuatkan anda berasa segar.
5. Jika rasa gatal masih berterusan lebih dari enam bulan, segera berjumpa doktor untuk mengetahui punca utama rasa gatal tersebut. Doktor pasti ada jalan penyelesaiannya.
Luka pembedahan caesarean selepas bersalin sukar dijaga. Banyak pantang larang yang mesti dipatuhi untuk memastikan lukanya benar-benar sembuh. Luka pembedahan memerlukan penjagaan rapi kerana ia melibatkan luka dalaman yang sebenarnya mengambil masa untuk sembuh kembali.
Kenapa luka pembedahan czer rasa gatal?
Selepas beberapa bulan sembuh daripada luka pembedahan, kebanyakan ibu mengadu mudah berasa gatal di sekitar kulit bahagian dibedah. Adakah ia perkara normal? Sebenarnya jika ditanya kepada ibu yang melahirkan anak secara pembedahan caesarean, mereka mengakui merasakan kesan tersebut.
Namun begitu, jangan bimbang kerana hal tersebut adalah masalah normal yang dialami oleh ibu yang melahirkan anak secara pembedahan.
Menurut pakar dermatologi di University of Cincinnati, apa yang dialami oleh para ibu tersebut adalah kerana saraf-saraf yang terpotong ketika proses pembedahan mula bersambung kembali menyebabkan rasa gatal terasa pada ketika itu.
Bahagian hujung saraf yang mula tersambung itu akan membentuk jaringan saraf seperti normal sehingga luka yang awalnya tidak terasa akan mula terasa seperti biasa. Kedengarannya rasa gatal yang dialami merupakan petanda luka pembedahan di bahagian dalam mula sembuh perlahan-lahan.
Selain daripada bahagian hujung saraf mula bersambung, bulu roma yang tumbuh di sekitar luka tersebut juga menandakan proses penyembuhan berlaku. Oleh kerana anda akan berasa sedikit terganggu dengan kegatalan yang dialami, pastikan menggunakan sabun mandi yang lembut dank rim hydrocortisone selepas mandi. Jangan terlalu menggosok kawasan luka tersebut.
Walaupun rasa gatal adalah normal, tetapi jangan dibiarkan jika sudah mencecah bulan keenam selepas kelahiran bayi. Segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
The post Luka Pembedahan Caesarean Rasa Gatal? Ini 5 Cara Menanganinya appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://majalahpama.my/luka-pembedahan-caesarean-rasa-gatal-ini-5-cara-menanganinya/