Liridon Krasniqi Dan Guilherme De Paula Sudah Hampir Menjadi Pemain Harimau Malaya
Hasrat skuad negara untuk diperkuatkan lagi dengan kudrat pemain naturalisasi bakal menjadi kenyataan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menghantar nama Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut sumber dalaman, satu pertemuan di antara pegawai tertinggi FAM dan KDN telah diadakan pada Selasa, 2 Julai 2019, untuk badan induk itu menyerahkan segala dokumen berkaitan yang membabitkan dua pemain berkenaan.
Sebelum ini, ia sekadar spekulasi ekoran masalah membabitkan dokumen de Paula yang juga penyerang Kuala Lumpur selain Krasniqi tidak lagi beraksi dalam Liga Malaysia musim ini selepas ikatannya bersama pasukan Melaka terlerai, April lalu.
Namun, perkhabaran terbaru itu tampak sesuatu yang positif apabila ia sudah dipanjangkan ke peringkat lebih tinggi selain turut menjadikan perancangan itu lebih serius dan juga bermakna, Harimau Malaya bakal mendapat dua tambahan pemain naturalisasi selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh.
Undang-undang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyebut seseorang pemain bola sepak boleh mewakili negara yang berbeza sebelum berumur 21 tahun atau sekiranya melepasi had umur tersebut, dibenarkan untuk mewakili negara lain dengan syarat belum mewakili negara asal.
FAM sebelum ini mengesahkan pendekatan membawa masuk pemain naturalisasi tersebut adalah antara pelan jangka pendek FAM dalam usaha memantapkan mutu serta kualiti skuad kebangsaan.
Badan induk itu juga berasakan kehadiran pemain naturalisasi perlu dilihat daripada sudut positif memandangkan negara ini ketandusan penyerang tempatan yang berprestasi tinggi tatkala menafikan pendekatan itu menutup peluang pemain tempatan, sebaliknya mewujudkan persaingan dan rangsangan kepada pemain kebangsaan.
Apa pun, jika perkara ini berjalan lancar dan mendapat lampu hijau daripada KDN, jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, sudah pasti menjadi individu paling gembira kerana mempunyai kekuatan tambahan untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2022 yang juga kelayakan Piala Asia 2023.
Kredit :
Zulhelmi Zainal Azam (stadiumastro.com)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ahmadzaki82.blogspot.com/2019/07/liridon-krasniqi-dan-guilherme-de-paula.html