Lima Sekeluarga Nyaris Lemas Bot Terbalik Di Kg Gertak Buaya Rantau Panjang Ahad Lalu
RANTAU PANJANG – Berpantang ajal, sebelum maut. Itu peribahasa paling tepat untuk menggambarkan situasi lima sekeluarga yang terselamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di Kampung Gertak Buaya di sini pada Ahad lalu.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, bot itu dipercayai terlanggar tunggul kayu sebelum ia hilang kawalan lalu terbalik.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi mereka apabila bot-bot lain yang lalu di lokasi kejadian bertindak pantas untuk menghulurkan bantuan.
Saksi kejadian, Muhairi Muhammad, 42, berkata, sewaktu kejadian, dia telah melihat kelima-lima mangsa melambai-lambai tangan bagi meminta bantuan.
“Ketika itu, saya bersama dua anak dan seorang rakan sedang menaiki bot di kawasan tersebut terkejut melihat keadaan mereka itu lalu terus menyelamat mangsa.
“Sebelum kami sampai, saya dapati sebuah bot milik penduduk yang melalui lokasi kejadian telah merapati mangsa terlebih dahulu untuk menghulurkan bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa yang terlibat itu sedang dalam perjalanan ke jalan utama untuk pulang ke Kuala Krai selepas mereka terperangkap dalam banjir di kampung berkenaan.
Terdahulu, video kejadian itu tular di media sosial selepas rakaman yang dimuat naik oleh Muhairi di Facebooknya menjadi tumpuan netizen
Mengulas lanjut, Muhairi memberitahu, dia bersama rakannya dan beberapa orang kampung telah berjaya menyelamatkan mangsa.
Katanya, dia bersyukur apabila semua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Selepas itu, saya bersama dua anak perempuan iaitu Alya Nafisa, 16, dan Auni Nafisa, 9 dengan bantuan sebuah lagi bot telah menghantar mangsa ke kawasan darat.
“Saya memuat naik video itu bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan pemakaian jaket keselamatan sewaktu menaiki bot,” katanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2020/12/berpantang-ajal-sebelum-maut-lima.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)