Lima Faktor Utama Kenapa Guru Tertekan
Assalamualaikum.
KERJAYA guru kini semakin mencabar. Perubahan zaman dan kemajuan teknologi membawa cabaran baharu buat para guru yang sedia terbeban dengan pelbagai tugas di luar bilik darjah.
Kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada 2005 mendapati sebanyak 69 peratus daripada keseluruhan kakitangan perguruan di Malaysia bekerja dalam keadaan tertekan.
Kementerian Pendidikan juga menjalankan kajian ke atas 48,258 responden guru pada 2018 dan mendapati 4.4 peratus daripada mereka mengalami tekanan tahap sederhana tinggi.
Sebagai komponen penting dalam pembentukan generasi masa hadapan yang berwibawa, hal ini perlu diberikan perhatian khusus. Untuk itu, RELEVAN menyenaraikan faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam kalangan guru yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib.
1. Tugas-tugas pentadbiran
Mendidik itu sahaja sudah sedia membebankan, terutamanya dalam senario zaman yang mana para pelajar sudah lebih maju pada usia muda dan pengaruh teknologi yang semakin dominan dalam kehidupan. Bebanan ini ditambah lagi dengan tugasan pentadbiran seperti mengisi borang, mengutip yuran, mengemas kini kedatangan, menyediakan laporan prestasi serta menyediakan soalan ujian. Beban kerja guru terlalu berat.
2. Kurang penghargaan
Pihak pentadbir kurang menghargai kerja yang dilakukan para guru walaupun mereka telah bertungkus-lumus dan mengorbankan banyak masa untuk menyelesaikan amanah masing-masing. Ia menyebabkan guru tertekan dan kurang motivasi.
3. Perubahan budaya pendidikan
Pendidikan di zaman ini menuntut guru memberikan ilmu pengetahuan dan dalam masa sama memanusiakan pelajar dengan pengajaran bermesej. Ini menuntut guru menghabiskan masa bagi menyediakan alat bantu mengajar dan menghadiri kursus serta bengkel sepanjang minggu bagi membuat penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang baharu.
4. Tingkah laku pelajar
Tingkah laku pelajar yang pelbagai mendatangkan tekanan kepada guru sehingga mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Masalah disiplin yang meningkat menyebabkan usaha mengawal kelas menjadi lebih sukar dan tumpuan terhadap bahan pengajaran berkurang.
5. Pencapaian pelajar
Guru menjadi semakin tertekan apabila prestasi kerja seseorang guru disandarkan kepada pencapaian pelajar dalam subjek-subjek yang diajar. Hal ini menimbulkan konflik pertentangan dalam diri guru apabila sikap dan tingkah laku pelajar yang sukar dikawal mempengaruhi pencapaian mereka, sekali gus memberi kesan kepada penilaian prestasi guru.
www.zukidin.com {Estd 2012}
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.zukidin.com/2022/04/lima-faktor-utama-kenapa-guru-tertekan.html