Lebih Mudah Dap Perjuang Pekebun Durian Haram Raub Selepas Bersama Umno Jasri
agendaily.com16/06/2023
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin.
Perjuangan DAP dalam membela pekebun haram durian Musang King di Raub lebih mudah selepas ini kerana sudah bersama UMNO dalam kerajaan campuran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata usaha DAP sejak sebelum ini diteruskan lagi supaya diberikan geran tanah dan kebenaran bercucuk tanam kepada pekebun haram durian di Raub, ia terbukti dengan gesaan terbaharu dibuat Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui di Parlimen baru-baru ini.
“Sebelum ini mereka mendesak untuk berjumpa Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) bagi mencari jalan menghalalkan pencerobohan mereka tanpa menghiraukan keputusan mahkamah.
“Ini jelas menunjukan DAP terus kekal dengan prinsip dan ideologi mereka dan konsisten menuntut apa yang mereka perjuangkan. Ini menjadi lebih mudah kepada mereka kerana mereka sudah bersama UMNO membentuk kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Yu Hui ketika sesi perbahasan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, pekebun durian ‘Musang King’ adalah mangsa kepada sistem negara dan sumbangan mereka tidak pernah diiktiraf, sepatutnya geran tanah diberikan kepada mereka oleh kerajaan negeri Pahang.
Jasri yang juga Ketua Bersatu Bahagian Maran mendakwa, apa menghairankan, DAP tidak pernah berubah dalam perjuangannya walaupun sudah bersama-sama dengan UMNO membentuk kerajaan.
“Yang berubah UMNO. Perjuangan yang diwarisi sejak dari datuk nenek kita dulu dibuang begitu sahaja. Tiada lagi laungan dan suara-suara mempertahankan perjuangan alif ba ta. Ini mungkin kerana hendak menjaga hati rakan dalam kerajaan.
“Tetapi DAP sikit pun tidak hairan kepada rakannya UMNO dan terus menuntut supaya apa yang diminta diberi dengan apa cara sekalipun.
“Bukan itu sahaja, kelmarin Kementerian Pelancongan bersetuju mempertimbangkan makanan bak kut teh dijadikan makanan warisan negara. Walhal terang-terang makanan ini bukan makanan asal negara dan tidak dimakan oleh majoriti kaum di Malaysia,” katanya lagi.
Beliau mendakwa, minggu lalu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, pemimpin UMNO menyarankan kepada rakan mereka dalam kerajaan campuran jangan membuat kenyataan kontroversi dan menyinggung perasan orang Melayu tetapi sikit pun tidak diendahkan.
“DAP tahu UMNO kini bukanlah parti yang kuat setelah kalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu. Jadi mereka tidak peduli. DAP tidak pernah berubah agenda perjuangan mereka tetapi sebaliknya UMNO yang diubah.
“Betullah kata pepatah Melayu, kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Kalau kita masih tidak sedar akhirnya saya percaya kita akan menjadi Pak Kaduk, ayamnya menang kampung tergadai,” katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/06/lebih-mudah-dap-perjuang-pekebun-durian.html