Lebih Baik Muafakat Sesama Melayu Dari Jadi Tali Barut Dap Kata Umno Johor

Ketua  Pergerakan Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah, membidas kenyataan  Ketua Pemuda DAP di negeri itu, Sheikh Umar Bagharib Ali yang  menyifatkan Bersatu Johor ibarat anak tiri dan tongkat dalam Perikatan  Nasional (PN).
Mohd Hairi sebaliknya mempersoalkan keikhlasan DAP  dalam membela masyarakat Melayu dan Bumiputera, serta mendakwa parti itu  mempunyai agenda untuk 'mencorakkan Malaysia menjadi sebuah negara  DAP'.
"Selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, terserlah  sikap DAP yang mempergunakan kuasa itu sepenuhnya untuk mencorak  Malaysia sebagai sebuah negara DAP.
"Jadi, adalah lebih baik bermuafakat sesama orang Melayu dan Islam daripada menjadi tali barut DAP, " katanya dalam kenyataan.
Selain  itu, Mohd Hairi juga menjangkakan parti baru yang ditubuhkan bekas  perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akan mampu untuk bertahan.

“Tidak  ke mana pun parti baru yang ingin ditubuhkan oleh Dr Mahathir itu,  prosesnya bukan mudah dan matlamat parti itu juga tidak jelas.
“Biarlah  Umno, sesama Islam demi masa depan yang lebih baik di negeri Johor  daripada terus menjadi kuli ataupun khadam kepada DAP,” katanya memetik  kenyataan Adun Pengkalan Batu dari Melaka, Norhizam Hassan Baktee yang  pernah mengakui hanya menjadi 'barua' sewaktu bersama DAP.
Terdahulu,  Sheikh Umar yang merupakan Adun Paloh berkata, meskipun kerajaan pusat  diterajui Bersatu di bawah pimpinan presidennya Muhyiddin Yassin, di  peringkat akar umbi di Johor ia hanyalah indah khabar daripada rupa.
Malah,  jelasnya, kerjasama antara Muafakat Nasional yang terdiri daripada Umno  dan PAS dengan Bersatu seperti tidak wujud di Johor.
Untuk  mengukuhkan dakwaan itu, Sheikh Umar berkata, Bersatu tidak dijemput  dalam satu program Hari Raya Aidiladha yang dihadiri menteri besar Hasni  Mohammad  disertai ahli Umno dan PAS.
Menerusi kenyataan  berasingan, Ketua Pemuda PAS Johor Ahmad Nawfal Mahfoz berkata dakwaan  Bersatu dilayan seperti anak tiri di Johor sebagai tidak berasas.
Jelasnya, Sheikh Umar patut berasa malu kerana tuduhan tersebut telah dinafikan oleh Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.
Ahmad  Nawfal turut mengingatkan Adun DAP itu supaya tidak menjadi batu api  dalam hubungan baik di antara PAS, Bersatu dan Umno di Johor.
“Saya  ingin mengingatkan Syeikh Omar Ali agar berhenti dari menjadi batu api  dan cuba untuk melaga-lagakan kerjasama baik yang berlaku diantara PAS,  Umno dan Bersatu selaku tunggak utama kepada pentadbiran kerajaan Johor  kerana itu usaha tersebut dilihat sia-sia dan hanya mengundang dosa,”  katanya lagi. 


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected]
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/08/lebih-baik-muafakat-sesama-melayu-dari.html