Lebih 170 Pesalah Juvana Bersekolah Di Sebalik Tirai Besi
  BERNAMA

Ada  bekas banduan muda dari Sekolah Integriti, Penjara Marang bekerja dalam  industri minyak dan gas selepas dibebaskan (Gambar Bernama) MARANG: Walaupun berada di sebalik balik tirai besi selepas dihukum  atas pelbagai kesalahan termasuk kes dadah dan mencuri, keperluan  banduan muda untuk mendapatkan pendidikan secara formal tidak pernah  diabaikan.
 Pengarah Jabatan Penjara Terengganu, Ahmad Saidi Hamzah berkata  terdapat 171 pelajar bergelar banduan muda berusia lingkungan 16 hingga  21 tahun sedang mengikuti pengajian di Sekolah Integriti, Penjara Marang  yang mula beroperasi sejak 2008.
 “Sekolah ini berbeza… mereka (banduan muda) sepatutnya masih di alam  persekolahan, tetapi atas kesilapan sendiri, terpaksa menjalani hukuman.  Ada antara mereka ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan Sijil Tinggi  Pelajaran Malaysia (STPM), ia bagi membolehkan mereka mendapat  pekerjaan apabila keluar nanti,” katanya kepada Bernama.
 Ahmad Saidi berkata banduan muda tersebut diajar mata  pelajaran yang sama sepertimana ditetapkan pihak Kementerian Pelajaran  Malaysia oleh guru terlatih dengan kaedah khas serta mudah difahami.
Katanya, selain menyasarkan banduan muda sekurang-kurangnya memiliki  SPM, mereka turut diberi ruang untuk belajar dalam kelas 3M iaitu  menulis, membaca dan mengira bagi membendung masalah buta huruf.
 “Saya ucapkan syabas kepada cikgu dan guru agama di Sekolah Integriti  kerana mereka sanggup masuk (ke sini) setiap hari. Kesanggupan ini  tidak ada pada semua orang.
 “Mereka korbankan keselesaan untuk diri sendiri dengan bekerja dalam  suasana tidak selesa, panas dan berbeza dengan sekolah di luar untuk  memastikan banduan muda ini menjadi insan berguna… banduan adalah insan  yang betul-betul perlukan pertolongan,” katanya.
 Tinjauan penulis di sekolah ini, mendapati banduan muda ini yang  memakai uniform serba putih, berselipar dan berambut pendek dengan raut  wajah serius, melakukan aktiviti sendiri antaranya membaca Al-Quran,  belajar, berlatih kawat di bawah terik mentari dan ada juga yang sibuk  membersihkan kawasan sekeliling.
 Rutin padat itu adalah antara aktiviti harian banduan di situ bagi  memastikan masa mereka terisi dari awal pagi hingga lewat petang.
 Menurut penyelia sekolah terbabit, Nor Amalina Kasim,  terdapat 5 kelas di sekolah itu yang memberi penekanan bagi SPM dan 3M  untuk pastikan sifar buta huruf.“Kami menerima pelajar pelbagai latar  belakang termasuk yang tidak  pernah terima apa-apa pembelajaran,”  katanya yang mengajar di situ sejak  2014.
 Ketika ditanya apakah cabaran yang perlu dilaluinya, Nor Amalina  berkata mereka hanya perlu fokus kerana kebanyakan banduan tidak  mempunyai asas pembelajaran dan agama yang baik, lantaran itu mereka  memulakan pendekatan dengan cara pengisian kerohanian.
 Memandangkan majoriti pelajar di situ beragama Islam, mereka akan  diketengahkan tentang mandi wajib, solat dan puasa selain adab, dengan  dipantau oleh pengawal penjara sepanjang tempoh pembelajaran.
 Untuk rekod, tahun lepas 5 banduan di sekolah berkenaan berjaya  memperoleh sekurang-kurangnya 2A, meskipun pendidikan akhir mereka  setakat darjah 6.
 “Banduan yang meninggalkan memori indah pada saya ialah ‘Belalang’  (nama panggilan) yang sedang belajar di Politeknik. Dia berjaya keluar  daripada pengaruh dadah dan sentiasa menghubungi saya untuk memaklumkan  keadaannya.    
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/lebih-170-pesalah-juvana-bersekolah-di.html