Lebih 1 000 Penduduk Di 5 Negeri Dipindah Akibat Banjir
                                Oleh Bernama                                                                                                                                                                                                                                             

Banjir di daerah Yan melibatkan rumah penduduk di beberapa mukim dinaiki air./ GAMBAR media sosial.             HUJAN lebat di lima negeri mengakibatkan lebih 1,000 penduduk  dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman  mereka dilanda banjir.
      Di MELAKA, seramai 590 orang daripada 155 keluarga di Melaka Tengah,  Jasin dan Alor Gajah ditempatkan di sembilan PPS pagi ini berbanding 493  orang daripada 130 keluarga tengah malam tadi.
   Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol  Cuthbert John Martin Qudra dalam kenyataan berkata daripada sembilan PPS  itu, tiga daripadanya adalah di Melaka Tengah yang menempatkan 257  orang daripada 60 keluarga, tiga di Jasin yang menempatkan 182 orang  daripada 48 keluarga serta tiga lagi di Alor Gajah yang menempatkan 151  orang daripada 47 keluarga.
          Di SELANGOR, 267 orang ditempatkan di empat PPS setakat 5.30 pagi  tadi selepas sembilan kawasan mengalami banjir kilat susulan hujan lebat  sejak petang semalam.
   Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor  Norazam Khamis dalam kenyataan berkata 200 orang daripadanya ditempatkan  di PPS Surau Abadi, PPS Balai Raya Kampung Salak Tinggi (17) dan PPS  Bukit Tampoi (12) kesemuanya di Sepang manakala 31 orang lagi  dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Dato Hamzah, Klang.
   Selain itu, tujuh orang dari dua rumah di Jalan Batu Bata, Bukit  Kemuning di Shah Alam terpaksa berpindah ke rumah saudara berhampiran  ekoran air banjir naik setinggi kira-kira 0.6 meter.
   Di KEDAH, 162 orang daripada 39 keluarga di Kuala Muda, Sungai Petani  ditempatkan di tiga PPS setakat 8 pagi ini iaitu di Dewan Kampung Bukit  Belah, Surau Taman Kenari serta Masjid Al-Huda di Kampung Jerung.
   Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Kedah Kapten (PA) Saifuddin  Abdullah dalam kenyataan berkata PPS Dewan Kampung Bukit Belah dibuka  pada 11.32 malam tadi, PPS Surau Taman Kenari dibuka pada 1.30 pagi  manakala PPS Masjid Al-Huda dibuka pada 12.30 tengah malam.
   Di NEGERI SEMBILAN, sebuah PPS di Balai Raya Kampung Permatang Pasir,  Port Dickson, dibuka pada 11.35 malam tadi bagi menempatkan 25 orang  penduduk dari kawasan Pusat Darul Widad.
   Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor dalam  kenyataan berkata PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mohd Said, Nilai  masih beroperasi bagi menempatkan sembilan orang dari Kampung Tanjung,  manakala lima orang dari Kampung Pedas, Rembau pula dipindahkan ke  kediaman keluarga terdekat.
   Di PERAK, hujan lebat berterusan menyebabkan 14 orang daripada tiga  keluarga di Kampung Sungai Temelok, Taiping dipindahkan ke PPS Sekolah  Kebangsaan Sungai Temelok susulan banjir kilat melanda kawasan itu awal  pagi tadi.
   Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, PPS  itu yang dibuka pada 3 pagi tadi menempatkan 10 wanita dan empat  lelaki.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/lebih-1000-penduduk-di-5-negeri.html