Laporan Polis Dibuat Dakwaan Menteri Ingkar Kuarantin
MALAYSIAKINI 
Pemimpin  Pemuda DAP (Dapsy) Seputeh telah membuat laporan polis terhadap Menteri  Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali  berikutan dakwaan pelanggaran arahan kuarantin.
Berdasarkan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Ketua Dapsy Seputeh Diccam Lourdes Lourdhusamy berkata dia telah  membaca laporan berita berhubung dakwaan menteri terbabit ingkar arahan  kuarantin dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan berdasarkan  Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 
Laporan polis itu dibuat di balai polis Sri Petaling pada jam 2.26 petang hari ini. 
Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Brickfields Zairulnizam Mohd Zainuddin memaklumkan telah  menerima laporan itu, berkata ia telah dirujuk kepada Kementerian  Kesihatan bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, Diccam pada hantaran di media sosial pula mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah. 
“Jika  rakyat biasa yang pergi ke Turki dan pulang mereka perlu melalui  kuarantin 14 hari. Mengapa menteri ini tidak dikuarantinkan?.
“Mereka ini Superman (adiwira) kah? Bila jadi menteri atau ahli parlimen ada perisaikah,”  soalnya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook. 
Dia  juga mengambil maklum bahawa Turki telah merekodkan banyak kes positif  Covid-19 dan ribuan nyawa terkorban akibat wabak tersebut.
Katanya lagi, jikalau Khairuddin positif, maka beliau boleh membawa risiko jangkitan itu sehingga ke parlimen. 
Dilaporkan  Khairuddin pergi telah ke Turki pada 3 hingga 7 Julai dan pada ketika  itu, negara tersebut telah merekodkan 5,600 kes baru dengan 93 kematian.  
Turki secara keseluruhan juga mencatat 250,000 kes positif dengan 6,061 kematian akibat wabak itu. 
Diccam  juga menyoal sekiranya Khairuddin bakal berdepan hukuman denda atau  penjara kerana melanggar arahan kuarantin sama seperti rakyat biasa yang  dikenakan tindakan tersebut. 
Sebelum ini, pengusaha restoran  Nezar Mohamed Sabur Batcha, yang mencetuskan Kluster Sivagangga telah  dihukum denda RM12,000 dan penjara lima bulan kerana melanggar arahan  kuarantin tersebut. 
Semalam, Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok  mendakwa Khairudin telah ke Turki atas urusan peribadi dan tanpa  mengkuarantin diri telah hadir ke Dewan Rakyat pada 13 Julai. 
Sumber  dekat dengan menteri dilaporkan berkata Khairuddin telah disahkan  negatif Covid-19 dan Turki telah menjadi negara zon hijau. 
Bagaimanapun,  Covid-19 mempunyai tempoh inkubasi (pengeraman) selama 14 hari, dan  jumlah kes dilaporkan di Turki telah menimbulkan persoalan terhadap  dakwaan Khairuddin terhadap situasi negara itu ketika beliau berkunjung  ke sana.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr  Noor Hisham Abdullah hari ini berkata pihak kementeriannya sedang  menyiasat dakwaan terhadap Khairuddin tersebut.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/laporan-polis-dibuat-dakwaan-menteri.html