Lantikan Exco Perak Dari Pas Terserah Kepada Perkenan Sultan Perak Kata Saarani
IPOH: Lantikan Exco daripada PAS dalam kerajaan negeri Perak hanya  akan dimuktamadkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, kata Menteri  Besar Perak Saarani Mohamad.
Beliau yang juga Ketua Umno negeri berkata pihaknya hanya boleh  mencadangkan nama Exco mengikut kesesuaian tetapi hak untuk memperkenan  lantikan itu terletak pada kuasa mutlak Sultan Perak.
“Kita akan penuhkan (jumlah Exco) sebagaimana sebelum ini  dan bila sampai masanya pelantikan itu akan dibuat,” katanya kepada  pemberita selepas secara rasmi memasuki pejabatnya di sini hari ini.
Semalam, majlis pelantikan lima Exco berlangsung, tanpa membabitkan  wakil PAS. Yang dilantik sebagai EXCO adalah empat ADUN Umno dan seorang  dari PPBM.
Kelima-lima mereka dan Saarani mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
PAS mempunyai tiga ADUN di Perak.  Dua daripada mereka sebelum ini  memegang jawatan EXCO dalam kerajaan negeri pimpinan Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan presiden PPBM itu terpaksa meletak jawatan sebagai MB  setelah ADUN Umno dan Pakatan Harapan menolaknya dalam usul undi percaya  di Dewan Undangan Negeri minggu lalu.
Saarani berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan membuat sedikit  pengubahsuaian dan penambaikan kepada barisan EXCO negeri mengikut  kesesuaian semasa.
“Itu pun saya akan buat kajian semula sebab berasaskan kepada 9 bulan  yang lalu sudah tentu kita akan membuat kajian tentang kesesuaian  (EXCO).
“Mungkin ada pengubahsuaian kepada portfolio dipegang bagi  tujuan memperbaiki kalau ada kelemahan sepanjang tempoh 9 bulan yang  lalu,” katanya.
Saarani berkata, beliau juga akan mengadakan mesyuarat pertama EXCO  Isnin ini diikuti perjumpaan bersama semua ADUN keesokan hari untuk  memberi taklimat belanjawan sebelum pembentangan dibuat pada sidang DUN  hari Rabu.
Beliau sendiri akan membentangkan belanjawan kali ini serta membuat  penggulungan oleh kerana lantikan Exco belum selesai sepenuhnya.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, dalam kenyataannya, yakin  parti itu tidak akan ditinggalkan dalam pelantikan EXCO Kerajaan negeri  baharu.
Beliau yakin semangat setiakawan dan penyatuan ummah yang terjalin antara PAS dan UMNO akan terus kekal.
PAS sebelum ini, mengambil ketetapan tidak akan menyertai pembentukan  kerajaan baharu di Perak, namun kelmarin, menyatakan sokongan terhadap  Saarani sebagai menteri besar.
MR : Mungkin exco cadangan PAS, sultan tak setuju... maybe?
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
  
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/12/lantikan-exco-perak-dari-pas-terserah.html