Langkah Bagus Kata Pendidik Sarawak Berhubung Pemansuhan Upsr
Nur Shazreena Ali Mereka berkata pemansuhan peperiksaan awam murid Tahun Enam itu akan membolehkan guru dan pelajar menikmati proses pembelajaran. 

Pakar pendidikan berkata,  pembelajaran di sekolah harus menjadi sebuah pengalaman yang tidak  membuat pelajar tertekan sebaliknya menggembirakan.     Pendidik di Sarawak memuji  langkah kerajaan memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang  diduduki murid Tahun Enam sebelum ke pendidikan menengah, dan  menyifatkan ia boleh memberi peluang kepada guru untuk mengenal pasti  kreativiti murid-murid dalam kemahiran pembelajaran mereka di sekolah.
Adam Prakash dari Kesatuan Guru Sarawak berkata pemansuhan UPSR adalah langkah tepat dalam hala tuju pendidikan negara.
“Ia mengurangkan satu lagi tekanan kepada pelajar, ibu bapa dan guru anak-anak di sekolah rendah,” katanya kepada MalaysiaNow.
  “Anak-anak  akan seronok berada di sekolah, dan guru akan menikmati pekerjaan  mereka kerana tumpuan sekarang adalah pada pengajaran dan pembelajaran,  bukannya peperiksaan awam.”
Menurutnya, penilaian akademik seperti UPSR terlalu menekankan  latihan pelajaran demi membantu pelajar memperolehi markah lebih baik  sehingga menyebabkan kesejahteraan sosial mereka diabaikan.
Dalam pada itu, katanya, guru pula terpaksa menumpukan perhatian pada penghafalan bukannya penerapan pengetahuan oleh pelajar.
“Kita sudah rompak pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan  daripada anak-anak kita sampai waktu petang yang patutnya waktu bermain  sebaliknya mereka kena pergi ke kelas tuisyen pula,” katanya.
“Anak-anak kita dijadikan subjek penilaian dan ujian dari tahun  pertama mereka di sekolah. Disebabkan pada usia awal kena buat  persediaan hadapi peperiksaan awam, ditambah pula tuntutan dan harapan  ibu bapa, anak-anak akhirnya hadapi tekanan.”
Ahli Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak Ahmad Malie, yang sebelum ini  pernah menggesa kerajaan untuk memansuhkan UPSR turut bersetuju.
Beliau berkata UPSR menjadikan persekitaran pembelajaran di sekolah  “kaku” kerana guru menumpukan perhatian untuk membantu pelajar mencapai  sebanyak mungkin “A”.
  Dengan  ruang yang lebih banyak diberikan ketika ini untuk menyelesaikan  sukatan pelajaran, murid akan dapat memahami pelajaran dengan lebih  baik.
“Saya fikir kesan pandemik Covid-19 terhadap pendidikan memberikan  ruang untuk kementerian mempertimbangkan langkah ini,” katanya.
“Pemansuhan UPSR juga akan beri peluang kepada guru dan murid untuk  lebih fokus pada kandungan pelajaran. Ini akan mendorong kreativiti dan  pasti akan menjadikan murid lebih gembira.”
Rabu lalu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan peperiksaan UPSR akan dimansuhkan tahun ini.
Beliau juga turut mengumumkan pembatalan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi 2021.
Menurut Ahmad, kerajaan juga patut memansuhkan PT3, dan menambah  penumpuan terhadap peperiksaan itu juga tidak berbeza dengan Penilaian  Menengah Rendah atau PMR sebelum ini.
“Ibu bapa dan ramai orang masih bertanya berapa banyak A yang  anak-anak kita dapat dalam PT3. Mentaliti peperiksaan ini masih ada,”  katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/langkah-bagus-kata-pendidik-sarawak.html