Lan Pet Pet Kena Jumpa Kami Sekali
DEMI menuntut keadilan pengawal keselamatan, Yahya Manap, yang ditumbuk oleh pelawak Lan Pet Pet pada 6 April lalu, Persatuan Penduduk Acacia Park Desa Jati di Nilai, Negeri Sembilan mengambil inisiatif melancarkan tabung bantuan untuk warga emas itu.
Menurut Biro Keselamatan Persatuan Penduduk, Norazilan Jaafar, hasil perbincangan bersama ahli jawatankuasa telah bersepakat melancarkan tabung bantuan untuk Yahya atau lebih dikenali sebagai Pak Ya bermula Selasa lalu.
"Setelah bermesyuarat bersama persatuan, kita putuskan untuk lancarkan tabung bantuan untuk Pak Ya bagi mengumpul dana bagi bayaran guaman.
"Diharap bantuan itu nanti dapat membantu Pak Ya membayar kos guaman jika dia mahu membawa kes itu ke mahkamah. Kami bukan sahaja terima bantuan daripada penduduk, malah ada juga orang luar yang menghulurkan sumbangan melalui akaun bank.
"Andai kata Pak Ya tidak mahu isu ini dilanjutkan ke mahkamah, dia boleh guna dana itu untuk perbelanjaan harian dan kos perubatan," kata Norazilan ketika dihubungi mStar pada Khamis.
Pada 6 April lalu, tular rakaman video kamera litar tertutup (CCTV), pelawak Mazlan Ahmad atau lebih dikenali Lan Pet Pet dipercayai menumbuk muka pengawal keselamatan berusia 70 tahun di sebuah pondok pengawal.
Mazlan dikatakan menumbuk di bahagian muka sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa selepas ditegur tidak membuat catitan dalam buku pelawat sebelum memasuki kawasan tersebut.
Akibat kejadian, polis bertindak menahan pelawak berkenaan pada 7 April tetapi dibebaskan dengan jaminan polis.
Setelah seminggu insiden itu berlaku, Lan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin lalu dan didenda sebanyak RM2,000.
Dalam pada itu, Norazilan turut menyifatkan Yahya merupakan seorang pengawal keselamatan yang berdedikasi dan amanah dalam menjalankan tugas.
Ujarnya, sepanjang lima tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di taman berkenaan, Yahya dikenali oleh semua penduduk.
"Dia sangat komited dengan kerja, dia dikenali oleh semua penduduk. Malah, dia yang memperkenalkan sistem merekod kehadiran pelawat.
"Kebiasaannya, kalau ada aktiviti mencurigakan, dia akan hubungi saya terlebih dahulu, tetapi pada malam itu kejadian berlaku begitu pantas dan saya hanya mengetahui selepas itu.
"Sejujurnya, susah nak cari pekerja serajin Pak Ya dan memandangkan dia masih bersemangat untuk bekerja, kami semua bersepakat memberikan kenaikan gaji bersesuaian dengan tugas yang dijalankan," ujarnya.
Ditanya jika pelawak tersebut mahu bersemuka dan membuat permohonan maaf kepada Yahya, Norazilan berharap ia dilakukan dihadapan wakil penduduk.
Ia berikutan Yahya ketika itu merupakan seorang pekerja yang diupah dan tertakluk di bawah tanggungjawab pihak pengurusan.
"Kalau mahu berjumpa dan mohon maaf tak ada masalah, itu sebaiknya... cuma kami harap ia dilakukan bersama dengan wakil penduduk yang lain.
"Sebabnya semasa kejadian, Yahya sedang bertugas dan dia menjadi tanggungjawab kami. Pihak sana kena beritahu bila waktu dan tarikh, kami bersedia mengaturkan pertemuan," katanya.
Dalam pada itu, Norazilan berkata selepas hampir dua minggu kejadian itu berlaku, pengawal warga emas itu masih mengalami sakit-sakit di badan.
"Dia baru mula kerja semula minggu ini, semasa saya jumpa dia baru-baru ini dia beritahu masih sakit di bahagian pinggang dan badan. Tapi dia masih mahu bekerja," ujarnya.-mStarMedia Shah Alam Kini di Tukar Kepada www.suarabiru.com
(https://mediashahalam.blogspot.com)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mediashahalam.blogspot.com/2019/04/lan-pet-pet-kena-jumpa-kami-sekali.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+SuaraBiru+%28SUARA+BIRU%29