Kwsp Jangan Abaikan Suri Rumah Lelaki
KUALA LUMPUR 26 Mei – Kerajaan perlu prihatin terhadap nasib lelaki yang tidak bekerjaya dan menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah dengan memberi sumbangan RM50 untuk dicarumkan dalam kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti mana yang diperoleh suri rumah wanita.
Selain itu, langkah penolakan dua peratus daripada gaji isteri untuk dicarumkan dalam KWSP atas nama suami juga perlu dipertimbangkan oleh kerajaan bagi memastikan nasib kaum lelaki yang menjadi suri rumah dibela.
Mengulas lanjut, pakar percukaian Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, inisiatif itu perlu diambil bagi memastikan golongan lelaki yang menjadi suri rumah mempunyai simpanan untuk digunakan sekiranya telah mencapai usia 60 tahun nanti.
“Kita perlu tahu suri rumah ini bukan sahaja terhad kepada wanita namun ada lelaki yang terpaksa menggalas tanggungjawab tersebut atas alasan tersendiri dan golongan ini tidak boleh diabaikan oleh kerajaan.
“Sudah tentu penolakan gaji isteri yang ingin dilakukan ini perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu. Kerajaan juga perlu melihat kepada pendapatan isi rumah keluarga berkenaan bagi memastikan niat baik untuk membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan telus dan menyeluruh,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Barjoyai, kerajaan perlu memfokuskan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) untuk melaksanakan skim KWSP tersebut kerana faktor purata simpanan mereka yang rendah setiap tahun.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pemberian sumbangan RM50 untuk dicarumkan dalam KWSP kaum lelaki yang menjadi suri rumah dapat membantu golongan tersebut untuk merancang simpanan mereka dengan lebih terurus.
Katanya, selain daripada simpanan jangka masa panjang, sumbangan tersebut secara tidak langsung dapat memberi motivasi kepada kaum lelaki yang menjadi suri rumah untuk mencari kerja yang lebih baik dengan gaji yang lebih besar.
“Inisiatif kerajaan ini ibarat ‘serampang dua mata’. Selain membantu golongan suri rumah dari segi simpanan jangka masa panjang, secara tidak langsung pencarum akan menjadi lebih bersemangat untuk mencari peluang pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi bagi memastikan simpanan KWSP mereka menjadi lebih banyak nanti,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://postselangor.blogspot.com/2018/05/kwsp-jangan-abaikan-suri-rumah-lelaki.html