Kumpulan Ibu Bapa Guru Samar Cadangan Sekolah Rendah Seawal 5 Tahun
Ahli akademik Anuar Ahmad semalam mencadangkan kerajaan memperkenalkan pendidikan sekolah rendah seawal usia 5 tahun. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Sebuah kumpulan ibu bapa sangsi dengan kemampuan Kementerian Pendidikan (KPM) memperbaiki sistem pendidikan rendah negara, seiring negara maju termasuk memperkenalkan silibus sekolah rendah seawal usia 5 tahun berbanding 7 tahun kini.
Menurut Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim, beliau secara peribadi menyokong cadangan ahli akademik Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang merujuk pelaksanaan di Korea Selatan dan England.
Namun, beliau gusar KPM belum sedia membuat perubahan itu, mengambil contoh perkembangan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilihat sukar dicapai , walaupun pelaksanaannya hanya berbaki setahun.
“Tentu tidak. Selagi KPM berdolak-dalik dan lebih membuat alasan, memang susah hendak membuat perubahan,” katanya kepada FMT mengulas sama ada Malaysia sedia memperbaiki sistem pendidikan seperti di negara maju.
“Pelan PPM pun tinggal setahun sahaja lagi sehingga tamat perlaksanaannya tetapi sasaran untuk pencapaianya masih lagi jauh.”
Noor Azimah Abdul Rahim.Noor Azimah berpendapat usia seawal 5 tahun sesuai untuk seseorang kanak-kanak mengikuti sistem pendidikan sekolah rendah, sambil memetik kajian Bank Dunia yang menunjukkan kadar kemasukan ke prasekolah di Malaysia telah mencapai 84% pada 2020.
“Terbukti yang anak-anak ini sudah bersedia, namun persoalan sebenar kemampuan serta kesediaan KPM melaksanakannya,” katanya.
Menurutnya, kajian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2022 yang melaporkan Malaysia ketinggalan tiga tahun berbanding negara berpencapaian tinggi memerlukan sistem pendidikan negara jujur dalam merekodkan data-data murid.
“Untuk kemahiran 3M, lebih penting melakukan intervensi pembelajaran bagi memastikan murid menguasainya,” kata Azimah yang turut bersetuju pendidikan awal harus berpaksi kepada permainan dan eksplorasi.
Mengikut laporan Pisa 2022 dikeluarkan Disember lalu, purata pencapaian Malaysia dalam literasi matematik menurun sebanyak 31 mata, manakala literasi saintifik (22) dan literasi bacaan (27) berbanding Pisa 2018.
Kajian setiap tiga tahun kecuali pada 2021 susulan Covid-19 meletakkan meletakkan Malaysia di tangga ketujuh dalam kalangan negara Asean yang mengambil bahagian dengan Kemboja berada di tangga teratas disusuli Brunei, Singapura, Filipina, Indonesia dan Thailand.
Fouzi SingonSementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Fouzi Singon berkata cadangan dasar pendidikan rendah seawal 5 tahun hanya akan menambah beban kewangan kerajaan, yang ketika ini sudah pun terlalu tinggi.
“Sekarang pun peruntukan pendidikan telah sedia tinggi dan masih tidak dapat mampu menampung keperluan sedia ada dari segi infrastruktur dan keperluan tenaga pengajar,” katanya.
Malah, beliau berkata prasekolah untuk kanak-kanak 5 tahun dan 6 tahun di bawah KPM juga masih tidak mencukupi untuk semua golongan, dan terpaksa ditapis hanya untuk kemasukan keluarga B40.
“Bagaimana KPM menyediakan pendidikan lebih awal yang belum tentu sesuai dengan budaya dan taraf sosio rakyat negara ini?,” soalnya yang berpendapat ibu bapa yang melihat kepentingan pendidikan awal boleh menghantar anak mereka ke pusat pendidikan swasta tersedia. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/02/kumpulan-ibu-bapa-guru-samar-cadangan.html