Kudeta Myanmar 200 Pekerja Pelantar Minyak Petronas Kandas Di Laut Andaman
Kira-kira 200 pekerja rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di sebuah pelantar minyak di Laut Andaman, dalam perairan Myanmar sejak rampasan kuasa dan darurat pada 1 Februari.
Menurut laporan Mingguan Malaysia, pekerja di pelantar minyak Yetagun milik Petronas itu terputus hubungan dengan daratan, dengan bekalan bahan api dan makanan hampir habis, dijangka cukup hanya sehingga 10 ke 11 Februari sahaja.
Menurut seorang pekerja di situ, sehingga kini, tidak ada berita atau perkembangan sama ada daripada pihak kedutaan Malaysia di Yangon atau majikan, dan status mereka selaku pekerja dengan sebuah syarikat kontraktor yang berkhidmat dengan Petronas di sana kini tidak diketahui.
“Sejak darurat diisytihar di Myanmar 1 Februari lalu, kami tidak mendapat apa-apa berita. Kami bimbang keselamatan kami di sini. Tidak ada apa-apa keputusan dibuat sama ada kami akan kekal di sini atau dibawa pulang.
“Ada kawan-kawan yang sudah dihantar ke darat, tetapi tidak ada khabar berita daripada mereka. Kami tidak dapat hubungi kedutaan di Myanmar. Kawan-kawan di darat juga tidak dapat dihubungi. Kami tidak tahu apa yang berlaku,” katanya dipetik Mingguan Malaysia.
Katanya, sehari selepas rampasan kuasa, mereka pernah diarahkan menghentikan semua kerja, namun disambung semula selepas itu sehinggalah ke hari ini.
Bagaimanapun, katanya, untuk meneruskan kerja seperti biasa, Petronas perlu memastikan bekalan makanan dan bahan api dihantar segera, bagi mengelakkan kapal induk yang menjadi tempat tinggal mereka itu terputus bekalan bahan api dan tidak dapat beroperasi.
Katanya, pekerja-pekerja meminta pihak berkaitan, terutamanya Petronas bertindak segera menyelesaikan krisis berkenaan, lebih-lebih lagi, apabila perkhidmatan helikopter antara pelantar minyak itu dengan Dawei di daratan telah terhenti kerana dipercayai sudah dikawal pihak Junta.
Kalau anda terlepas…
ULASAN | ‘Wahyu’ dalam urusan tender kerajaan
“Tidak ada perkhidmatan helikopter sekarang, difahamkan semua dikawal oleh pihak junta. Apa yang berlaku pun kami tidak tahu,” katanya yang sudah empat bulan bertugas di pelantar tersebut.
Menurutnya, pekerja sepatutnya bertugas di pelantar dalam giliran 40 hari, namun ekoran wabak Covid-19 dan isu visa, kumpulan sama dikekalkan untuk bekerja di situ.
Pada 1 Feb, tentera Myanmar merampas kuasa daripada parti pemerintah, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi, dan menahan Suu Kyi bersama sejumlah pemimpin lain parti itu pada pagi sama.
Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas meningkatnya ketegangan antara pihak tentera dan kerajaan.
Beberapa jam selepas penahanan tersebut, Ketua Tentera Myanmar Min Aung Hlaing menguatkuasakan darurat selama setahun di negara itu. Mk
The post Kudeta Myanmar: 200 pekerja pelantar minyak Petronas kandas di Laut Andaman appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2021/02/07/kudeta-myanmar-200-pekerja-pelantar-minyak-petronas-kandas-di-laut-andaman/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=kudeta-myanmar-200-pekerja-pelantar-minyak-p