Kuatkuasa Larangan Merokok Mulai 1 Januari
   Balqis Jazimah Zahari   
PENGUATKUASAAN larangan merokok di semua restoran dan premis makanan tetap akan dilakukan bermula 1 Januari tahun hadapan.
Timbalan  Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, tindakan tegas akan  diambil terhadap mereka yang tidak akur dengan larangan berkenaan.
“Penguatkuasaan  pendidikan akan diteruskan sehingga hujung tahun ini, ia mengambil masa  untuk mendidik, hendak mengubah sikap ini bukan sehari dua.
“Saya  berikrar pada 1 Januari tahun hadapan kita akan terus menguatkuasakan  larangan dan menyaman sekiranya mereka masih tidak mematuhi peraturan,”  katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Syawal di  Sekolah Agama Rakyat At-Tolibiah, Kampung Changkat Larang, Lahat di  Ipoh, hari ini.
Boon Chye berkata demikian ketika diminta mengulas  mengenai tindakan perokok yang seakan tidak takut dengan penguatkuasaan  larangan merokok di tempat awam terutama selepas Kementerian Kesihatan  menangguhkan penguatkuasaan terhadap perkara itu beberapa kali.
Menurutnya,  pihaknya melihat perkembangan semasa itu secara positif kerana didapati  lebih 80 peratus perokok yang pergi ke restoran memahami ada peraturan  dan akur mengenainya.
“Bagaimanapun, kita tahu ada mereka yang  masih tidak akur kepada peraturan, cuma saya menyeru untuk kepentingan  kesihatan sendiri, penjagaan kesihatan orang yang berada di sekeliling  agar mereka mengelak daripada merokok di hadapan orang tidak merokok.
“Kita  menghormati hak mereka untuk merokok tetapi kita juga patut menghormati  hak mereka yang tidak merokok supaya bebas daripada kesan asap rokok,”  katanya.
Boon Chye bagaimanapun menegaskan penguatkuasaan larangan  merokok sedia ada di tempat makan yang berhawa dingin, rumah ibadat,  pejabat kerajaan, institut pengajian tinggi (IPT) dan juga tempat awam  lain diteruskan.
“Memang hasrat kita untuk memperluas kawasan larangan merokok ini untuk meliputi tempat makanan yang tidak berhawa dingin.
“Tujuannya  mendidik, sekiranya tidak dapat mengurangkan atau berhenti merokok,  sekurang-kurangnya kita berharap mereka akan mengubah sikap supaya tidak  merokok di kalangan orang ramai,” katanya.
Media sebelum ini  melaporkan Kementerian Kesihatan mengumumkan melanjutkan tempoh  penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai  kawasan larangan merokok selama enam bulan lagi hingga Disember ini.
Tempoh  mendidik sebelum menguatkuasa larangan merokok di kedai makan dan  restoran sebelum ini ditetapkan berakhir Julai ini selepas pewartaan  tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula pada 1 Januari  lalu.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/06/kuatkuasa-larangan-merokok-mulai-1.html