Kuala Krai Enam Beradik Berkorban Jaga Ibu Terlantar Kerana Menghidap Ketumbuhan Di Kepala
Demi insan tersayang, enam beradik yang menetap di Kampung Bekok di sini, bergilir menguruskan ibu mereka yang terlantar kerana menghidap ketumbuhan di kepala sejak lebih setahun lalu.
Tanggungjawab itu digalas Muhammad Isma Daniel Mohd Zain,15; Muhammad Isma Danish, 12; sepasang kembar, Muhammad Isma Afifi dan Nur Jasrin Elisya, 9; Muhammad Isma Darwisy, 8, dan Nur Jasrin Khalisya, 6, yang menguruskan kerja rumah dan pada masa sama menjaga ibu mereka, Nur Jasrina Jaafar, 35.
Bapa mereka, Mohd Zain Che Man, 35, yang bekerja kampung setiap pagi memandikan isteri tersayang sebelum tanggungjawab itu berpindah kepada enam anaknya terutama Nur Jasrin Elisya.
Nur Jasrin Elisya yang mesra disapa Elisya berkata, rutin tugasnya memakaikan lampin pakai buang ibunya sebaik selesai dimandikan seterusnya menyuap makan dan minum.
” Biasanya untuk sarapan papa membeli nasi bungkus untuk saya, mama dan lima adik beradik yang lain tapi untuk makan tengah hari dan malam saya dan dua abang termasuk kembar akan bergilir memasak lauk ringkas seperti goreng telur dadar dan ikan.
“Kami juga bekerjasama melakukan kerja rumah seperti membasuh pinggan mangkuk, mengemas rumah dan membasuh pakaian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.
Elisya yang juga murid Tahun Tiga dari Sekolah Kebangsaan Kuala Krai terpaksa ‘ponteng’ sekolah sejak dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Julai lalu kerana perlu menumpukan perhatian menguruskan ibunya.
Mengakui rindukan suasana persekolahan, Elisya berharap dapat menjejakkan kaki semula ke sekolah seperti adik beradiknya suatu hari nanti.
“Memang rindu sangat untuk kembali bersekolah tapi apakan daya saya perlu berkorban menjaga mama kerana papa perlu bekerja dan adik beradik yang lain lelaki dan tidak pandai sangat menguruskan kerja rumah,” katanya.
Terdahulu mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed tampil bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan barang dapur.
Sementara itu bapa saudaranya, Mohd Zulkafli Che Man, 48 berkata, sebelum terlantar, adik iparnya itu hanya kebas di bahagian tangan serta muka sahaja sebelum beberapa bulan selepas itu keadaan semakin teruk.
“Empat bulan lalu Jasrina sudah mula memerlukan bantuan untuk bangun dan dia segera dirujuk ke hospital di sini sebelum disyaki menghidap ketumbuhan dalam kepala.
“Adik saya hanya bekerja kampung yang memperoleh pendapatan tidak seberapa dan perbelanjaan mereka sekeluarga agak besar lebih-lebih lagi Jasrina perlu memakai lampin pakai buang,” katanya sambil memberitahu sanak saudara dan jiran tetangga turut menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan atau barang dapur untuk meringankan beban.
Bagi yang ingin membantu keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB milik Nur Jasrina iaitu 76-1213183-1. Semoga bantuan mak,ayah dapat meringankan bebanan yang ditanggung keluarga ini.
The post Kuala Krai: Enam beradik berkorban jaga ibu terlantar kerana menghidap ketumbuhan di kepala appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suaraviral.org/kuala-krai-enam-beradik-berkorban-jaga-ibu-terlantar-kerana-menghidap-ketumbuhan-di-kepala/