Kuah Kacang Daging Istimewa Azie Kitchen
Malam tadi kita dah baca doa Qunut dalam solat Witir. Haa itu menandakan Ramadhan telah pun separuh kita jalani. Semoga kita terus istiqamah untuk beribadah di bulan Ramadhan yang menjanjikan pahala berganda dan juga adanya anugerah malam Lailatul Qadr pada 10 malam terakhir Ramadhan.
Masa ni juga lah company rancak menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel hotel yang pastinya Isyak berjemaah tak ada dan solat terawih secara sendirian. Itu pun jika ada yang melakukannya. Sangat rugi dengan mereka yang mensia siakan Ramadhan. Tapi ya lah hidayah milik Allah. Mungkin ada yang tidak mendapat hidayah Allah sehingga Ramadhan sama sahaja dengan bulan lain.
Sekadar peringatan buat diri kita semua kerana apa yang kita lakukan hari ini adalah dengan izin dan hidayah Allah. Bersyukur jika kita digerakkan hati untuk beribadah dan bersolat terawih di surau dan masjid.
Setiap kali raya, saya pasti menyediakan juadah ini. Ini adalah hidangan yang lengkap kerana dimakan dengan daging, kuah kacang dan nasi impit. Kiranya ianya menggantikan sate. Jadi dengan hidangan ini, memang kita akan kekenyangan seharian pada hari raya.
Selain daging, boleh gantikan dengan ayam. Anak anak kan lebih suka ayam dari daging. Masa memasak untuk ayam pun lebih singkat kerana ayam lebih cepat masak berbanding dengan daging. Yang penting kedua duanya sedap. Yang paling saya suka, kerana ianya dapat disimpan dalam freezer untuk dimakan bila bila rasa teringin nak makan.
Jom Jom layan resipi dan penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Kuah Kacang Daging Azie KitchenOleh: Azie Kitchen
Bahan bahan2 kg daging - potong kecil dan rebus 1 kg kacang tanah 1 cawan cili kisar - 25 tangkai cili kering 1 gelas air asam jawa - dari 1 kepal asam jawa - 1 sudu kecil pes1 ½ cawan gula pasir 2 keping gula Melaka 2 sudu besar garam halus 2 cawan minyak mazola
Bahan kisar:20 biji bawang merah 6 ulas bawang putih 2 inci halia 2 inci lengkuas 8 batang serai
Cara cara:Kacang tanah disangai tanpa minyak atau dibakar di dalam oven atau air fryer 160C selama 40 minit. Buangkan kulit dan dikisar serta sedikit ditumbuk supaya tidak terlalu hancur.
Masukkan kacang kisar ke dalam periuk dan tuang sedikit air. Masak dengan api perlahan sehingga kacang kembang. Ianya bertujuan supaya kacang tanah tidak menyerap perisa kuah kacang dan kuah tidak menjadi cepat kering.
Tumis bahan kisar sehingga wangi, masukkan cili giling, tumis lagi hingga cili benar benar masak dan terbit minyak.
Masukkan daging dan kacau rata. Setelah mendidih, masukkan sedikit air rebusan daging, air asam jawa, gula, gula Melaka, garam dan masak sehingga mendidih dan sedikit pekat.
Akhir sekali, masukkan kacang tanah yang telah direbus. Masak atas api perlahan selama 1 jam -2 jam supaya kuah kacang bertukar warna gelap, nampak berminyak di permukaan dan pekat, barulah sedap.
Sesuaikan rasa dan kepekatannya. Kalau pekat, tambah air panas. Kuah kacang mesti ada rasa manis, baru sedap. Jika kurang manis, tambah gula sedikit demi sedikit.
Bolehlah angkat dan dihidangkan dengan nasi impit dan hirisan timun serta bawang.
Nota:Boleh masukkan dalam bekas bertutup kecil dan simpan dalam freezer untuk kegunaan akan datang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aziekitchen.com/2023/04/kuah-kacang-daging-istimewa-azie-kitchen.html