Komentar Mahu Buat Pahala Tetapi Dapat Dosa
Oleh : Azimi Mustapha
SETIAP umat Islam sudah pasti mengimpikan ibadat dan amalan baik yang dikerjakan mendapat ganjaran pahala yang banyak daripada Allah sebagai bekalan pada hari akhirat nanti untuk memasuki syurga.
Biar sebanyak mana pun amal ibadat dan kerja-kerja kebajikan dilakukan demi mendapat rahmat daripada Allah, ia seharusnya diseimbangkan dengan kehidupan bermasyarakat.
Ini kerana, Islam amat mementingkan keharmonian dalam hubungan dengan orang lain termasuk bukan Islam biarpun kita mahu mengejar ganjaran Ilahi.
Sungguhpun begitu, masih terdapat ramai dalam kalangan umat Islam yang meminggirkan aspek kepentingan hubungan sesama manusia ketika melakukan ibadat.
Gambar Hiasan
Sebagai contoh, ia dapat dilihat ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat. Ramai yang meletakkan kereta menghalang kenderaan orang lain dengan alasan ingin cepat ke masjid.
Ini dapat dielakkan jika mereka merancang awal ke masjid dan jika lambat perlu meletakkan kenderaan mereka tanpa menghalang laluan orang lain.
Perkara ini terjadi kepada rakan penulis Jumaat lepas apabila keretanya dihalang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika menunaikan solat di sebuah masjid di Selangor.
Selepas habis solat, rakan penulis terus bergegas ke kereta memandangkan dia mempunyai urusan penting yang perlu dibuat segera.
Malangnya, ketika sampai, kenderaan yang menghalang keretanya masih berada di situ dan tidak kelihatan pemiliknya. Selepas menunggu hampir 20 minit, barulah tuan punya kenderaan terbabit tiba dan tanpa rasa bersalah berlalu begitu sahaja tanpa senyuman dan ucapan maaf.
Dalam hal ini, bagi penulis, tuan punya kenderaan yang menghalang kereta orang lain tidak perlu mementingkan diri sendiri dan perlu segera kembali ke keretanya. Dia tidak perlu menunggu hingga imam habis berdoa atau dengan erti kata lain usah berlagak alim.
Ini kerana, jika dia gagal berbuat demikian bukan sahaja menyusahkan orang lain, malahan mendapat dosa biarpun berwirid panjang selepas solat kerana menyebabkan seseorang berasa sakit hati dengan tindakannya itu.
Ada juga orang yang kuat beribadat termasuk solat pada waktu malam, tetapi tidak menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga dengan menyakiti hati orang di sekelilingnya menerusi tindak-tanduk dan pertuturannya.
Dia berasa seolah-olah ibadat yang dilakukannya sudah memadai membawanya ke syurga Allah tanpa memikirkan perasaan orang yang disakitinya itu.
Dalam hal ini, Rasulullah pernah berpesan, orang yang sebegini tidak akan dimasukkan ke syurga kerana tidak menjaga hubungan sesama manusia biarpun kuat melakukan ibadat kepada Allah.
Menerusi sebuah hadis, Abu Hurairah menerangkan perkara ini pernah diberitahu kepada Rasulullah (SAW) mengenai seorang perempuan yang bersembahyang pada waktu malam dan berpuasa pada waktu siang.
Malangnya, lidahnya jahat selalu menyakiti jirannya, maka Rasulullah bersabda: “Tidak ada kebaikan kepada wanita itu dan tempatnya adalah neraka.”
Hadis ini membuktikan ibadat dan amalan baik yang dikerjakan perlu diseimbangkan dengan hubungan mesra sesama manusia kerana setiap orang mempunyai hak masing-masing yang harus dihormati.
credit
Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:
Ditaja oleh FeedBurner
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bloginfo4uall.blogspot.com/2018/11/komentar-mahu-buat-pahala-tetapi-dapat.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+BlogSensasi+%28Blog+Sensasi%29