Kkm Diminta Senarai Anak Yang Kematian Ketua Keluarga Untuk Dibantu
azrulhakimie 
 		 			Ini bagi pastikan mereka tidak terlepas daripada dibantu kerajaan

		  			 			RAWANG –  Kementerian Kesihatan (KKM) diminta untuk menyenaraikan jumlah anak-anak  yang kematian kedua ibu bapa atau seorang daripadanya akibat virus  COVID-19.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu adalah untuk memastikan  anak-anak yang kehilangan tempat bergantung tidak terlepas daripada  menerima bantuan daripada kerajaan.
“… saya telah minta Menteri Kesihatan  Datuk Seri Dr Adham Baba untuk mendapatkan kes-kes yang melibatkan  kematian kedua ibu bapa atau salah seorangnya (akibat dijangkiti virus  COVID-19) yang menyebabkan akan berlaku kesusahan kepada anak-anak  mereka kerana punca pendapatan hilang.
“Selepas ini kalau ada lagi kita akan  bantu seperti sekarang ini. Kerajaan sentiasa prihatin kepada apa yang  berlaku kepada setiap rakyat,” katanya selepas menyantuni lapan beradik  yang kehilangan kedua ibu bapa akibat COVID-19 di sini hari ini. Turut  hadir Dr Adham dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Baru-baru ini, tular di media sosial  mengenai kisah lapan beradik berumur lingkungan empat hingga 19 tahun  yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka  pergi buat selama-lamanya dalam tempoh tiga hari akibat wabak COVID-19.
Ketua keluarga lapan beradik itu  Benyajeed Bernie disahkan meninggal dunia pada 16 Julai manakala  isterinya Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian iaitu pada  18 Julai.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata  beberapa pihak bertanggungjawab termasuk Lembaga Zakat Selangor dan  Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memberi bantuan sepatutnya kepada  lapan beradik itu.
“… sewa rumah RM650 sebulan akan dibayar  sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor, begitu juga barang makanan dan  kewangan one off sebanyak RM650. JKM pula akan memberikan RM950 sebulan  kepada kesemua lapan beradik itu,” katanya yang memberitahu Bantuan Khas  Pengurusan Kematian COVID-19 NADMA yang merupakan bantuan one-off  RM5,000 turut diberikan kepada waris si mati.
Selain itu, Ismail Sabri yang juga  Menteri Pertahanan berkata Kementerian Pertahanan juga bersetuju untuk  mengambil lapan beradik itu sebagai anak angkat kepada Boustead Holdings  Berhad (Boustead) yang merupakan anak syarikat di bawah kementerian  itu.
Beliau berkata anak kedua (18 tahun)  daripada lapan beradik itu yang kini bekerja di sebuah kilang di situ  turut ditawarkan untuk bekerja di syarikat Boustead.
Dalam pada itu, Nazurah Nabilah  Benyajeed, 19, yang merupakan kakak sulung lapan beradik itu berasa lega  dengan semua bantuan yang diberikan kerana ia sedikit sebanyak mampu  meringankan beban mereka adik-beradik terutamanya dari segi meneruskan  pendidikan.
Beliau yang kelihatan tenang ketika temu ramah media di sini berharap adik-adiknya tidak terumbang-ambing dalam pendidikan.
“Mula-mula rasa sedih (kehilangan kedua  ibu bapa) tapi saya nampak adik-adik jugak menangis, jadi saya tidak  akan menangis sebab saya kena kuat jadi tonggak mereka.
“… kehilangan orang tersayang itu  perkara biasa. Jangan terlalu sedih dan layan perasaan sampai kesihatan  terjejas. Kita kena kuatkan semangat untuk teruskan hidup,” katanya  sambil menambah kedua ibu bapanya berpesan untuk menjaga adik-adik serta  reda dengan pemergian itu.
Nazurah Nabilah yang merupakan penuntut  jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik  Mersing, Johor kini dalam tempoh cuti semester.
Sehubungan itu, Kementerian Pengajian  Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti  (JPPKK) mengambil inisiatif menawarkan pertukaran kampus penuntut itu  dari Politeknik Mersing ke Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak  yang lebih dekat dengan rumahnya.
KPT, melalui agensi Perbadanan Tabung  Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut memberikan sumbangan dalam  bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM500  untuk setiap lapan beradik itu dengan jumlah keseluruhan RM4,000. –  Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/kkm-diminta-senarai-anak-yang-kematian.html