Kj Cadang Pru Seawal Tahun Depan
(Berita Harian) – Pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan seawal tahun depan bagi memulihkan kestabilan politik di negara ini, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, berpandangan PRU itu sesuai diadakan selepas keadaan ekonomi negara dilihat stabil dan penularan COVID-19 dalam keadaan terkawal.
Jelasnya, situasi politik tempatan yang tidak menentu ketika ini, khususnya majoriti kecil kerajaan, memberi kesan kepada keyakinan pelabur asing, yang dilihat penting dalam usaha memulihkan ekonomi negara.
“Tanpa kestabilan politik, walau apa pun perancangan dan program bantuan ekonomi, kita tidak akan melihat pemulihan yang berterusan kerana pelabur akan melihat politik Malaysia tidak stabil, majoriti dimiliki kerajaan tidak sampai 10.
“Kestabilan politik itu sangat penting. Bagi saya, cara penyelesaian terbaik adalah untuk kita mencari mandat yang baharu,” katanya dalam temu bual bersama BH dan NST di sini, baru-baru ini.
Ketika ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memiliki sokongan 114 Ahli Parlimen, hanya majoriti tiga kerusi daripada 112 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.
Majoriti tipis itu dilihat menggugat kestabilan kerajaan, dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Pakatan Harapan (PH), berulang kali mengancam mengadakan undi tidak percaya di Parlimen.
Pembangkang turut beberapa kali melancarkan perang psikologi terhadap kerajaan dengan mendakwa memiliki kerusi mencukupi untuk merampas kembali Putrajaya daripada PN.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu politik ketika ini dilihat tidak memihak pembangkang apabila masih bergelut untuk memilih antara Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, isu sama yang menyebabkan kerajaan PH runtuh pada hujung Februari lalu.
Walaupun setuju diadakan PRU dalam tempoh terdekat, Khairy menegaskan ia tidak boleh diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana ancaman pandemik COVID-19 masih wujud di negara ini, selain perlu memberi ruang pemulihan ekonomi bermula.
“Selepas kes aktif benar-benar turun dan masuk dalam proses pemulihan (ekonomi), pengumuman Belanjawan 2020, kita stabilkan politik dan kembalikan mandat kepada rakyat untuk tentukan menerusi pilihan raya,” katanya.
Ditanya sama ada UMNO bersedia dengan pilihan raya mengejut itu, khususnya membabitkan pengagihan kerusi dengan BERSATU, Khairy mengakui mereka memerlukan sedikit masa untuk berunding.
“Pengagihan kerusi akan babitkan semua rakan kita, termasuk PAS, BERSATU, MCA dan MIC. Sekarang ini dunia baharu, tak boleh kata selama-lamanya kerusi ini milik UMNO, maka UMNO yang bertanding.
“Kita kena melihat setiap senario dan perlu ada semangat kerjasama dan berbesar hati untuk melihat kepada perkongsian kuasa,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2020/06/25/kj-cadang-pru-seawal-tahun-depan/