Kisah Wali Allah Yang Solat Di Atas Air
Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200 orang temasuk ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah lautan maka datanglah ribut petir dengan ombak yang kuat membuat kapal itu terumbang-ambing dan hampir tenggelam.
Berbagai usaha dibuat untuk mengelakkan kapal itu dipukul ombak ribut, namun semua usaha mereka sia-sia saja. Kesemua orang yang berada di atas kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang akan terjadi pada kapal dan diri mereka.
Ketika semua orang berada dalam keadaan cemas, terdapat seorang lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia kelihatan tenang sambil berzikir kepada Allah SWT.
Kemudian lelaki itu turun dari kapal yang sedang terunbang-ambing dan berjalanlah dia di atas air dan mengerjakan solat di atas air.
Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia dalam kapal itu melihat lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!"
Lelaki itu tidak memandang ke arah orang yang memanggilnya.
Para peniaga itu memanggil lagi, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"
Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan berkata, "Apa hal?"
Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa.
Peniaga itu berkata, "Wahai wali Allah, tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam ini?"
Wali itu berkata, "Dekatkan dirimu kepada Allah."
Para penumpang itu berkata, "Apa yang mesti kami buat?"
Wali Allah itu berkata, "Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan selamat."
Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta mereka. Asalkan jiwa mereka selamat.
Kemudian mereka berkata, "Wahai wali Allah, kami akan membuang semua harta kami asalkan jiwa kami semua selamat."
Wali Allah itu berkata lagi, "Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca Bismillah."
Dengan membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi seorang ke atas air dan berjalan menghampiri wali Allah yang sedang duduk di atas air sambil berzikir.
Tidak berapa lama kemudian, kapal yang mengandungi muatan berharga itu pun tenggelam ke dasar laut.
Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang mahal-mahal terbenam ke laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat, mereka berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam itu.
Salah seorang daripada peniaga itu berkata lagi, "Siapakah kamu wahai wali Allah?"
Wali Allah itu berkata, "Saya ialah Awais Al-Qarni."
Peniaga itu berkata lagi, "Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal yang tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir."
Wali Allah berkata, "Sekiranya Allah kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?"
Peniaga itu berkata, "Betul, saya tidak akan menipu, ya wali Allah."
Setelah wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun mengerjakan solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada Allah SWT agar kapal itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.
Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang.
Setelah itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju.
Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membahagi-bahagikan harta kepada semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang tertinggal.
SIAPA WALI ALLAH?
Wali Allah (auliya) adalah orang-orang yang memiliki hubungan dekat dengan Allah Taala. Mereka memiliki keistimewaan dan kekhususan di sisi-Nya. Al-Quran menjelaskan para waliyullah ini adalah orang beriman dan bertakwa dalam surah Yunus ayat 62-63.
"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa." (QS Yunus: 62-63)
Dalam satu hadis turut disebut golongan inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah kepada Saidina Umar Ibnu Al Khattab r.a.
Rasulullah: Para Nabi dan para syuhada akan cemburu kepada segolongan hamba Allah kelak di akhirat kerana kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah, pada hal mereka bukan para Nabi.
Umar r.a.: Siapakah mereka wahai Rasul?
Rasulullah: Mereka ialah satu kaum yang saling mengasihi sesama mereka semata-mata kerana Allah, bukan kerana hubungan silaturrahim atau kerana harta. Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka bercahaya, mereka di atas mimbar yang bercahaya. Mereka tidak takut di kala manusia lain merasa takut dan mereka tidak sedih di kala manusia lain merasa sedih. Lalu Rasulullah pun membaca ayat 62-63 dari surah Yunus.
“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (QS Yunus: 62-63).
Keistimewaan Wali Allah
Salah satu keistimewaan Wali Allah ini ada diterangkan oleh Baginda Nabi, dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhya Allah Ta'ala berfirman: "Siapa yang memusuhi wali-Ku maka telah Aku umumkan perang terhadapnya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku cintai kecuali beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan atasnya. Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnah di luar yang fardhu) maka Aku akan mencintainya. Dan jika Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi." (Riwayat Al-Bukhari).
3 Wirid Para Wali Allah
Ada tiga wirid yang tidak pernah berpisah dengan para auliya (solihin) kerana faedah membaca wirid ini sangat besar fadilatnya di dunia mahupun di akhirat.
1. Membaca 100 Kali sebelum solat Subuh
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم ،استغفرالله
Subhanallahi wa Bihamdihi Subhanallahil 'Azhiimi, Astaghfirullaah.
Ertinya: Maha suci Allah dan segala pujian kepada-Nya, Maha suci Allah yang Maha Besar aku mohon keampunan kepadaMu ya Allah.
Wirid ini juga terkenal dengan sebutan istighfarnya para Malaikat.
Membaca 100 kali sesudah solat Zuhur
لاإله إلا الله الملك الحق المبين
Laa ilaha illallah Al-Malikul haqqul Mubiin.
Membaca zikir ini sebelum tidur
سبحان الله
Subhanallah 33x
الحمدلله
Alhamdulillah 33x
الله اكبر
Allahu Akbar 34x
Dan menutupnya dengan kalimat:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Laa ilaaha illallah wahdahu laa Syarika lah, Lahul Mulku wa Lahul hamdu Yuhyii wa Yumiitu wa Huwa 'Alaa kulli Syai-in Qadiir.
Inilah juga kalimah yang diajarkan Rasulullah kepada puteri dikasihinya Saidatul Fatimah radhiyallahu ‘anha dan juga kepada menantunya, Saidina Ali.
Para ulama mengatakan ada rahsia yang sangat besar dalam tasbih zikir ini.
Semoga bermanfaat dan kita dimudahkan dalam mengamalkannya. Aamiin.
Wallahu a'lam.
-Sentiasapanas.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2023/02/kisah-wali-allah.html