Kisah Palatao Di Sabah
Dalam kolum saya minggu ini, saya ulas tujuh faktor pendorong dan/atau proses sosiobudaya serta sosiopolitik yang melahirkan gejala "palatao".


Tujuh pendorong itu sebahagiannya angkara media sosial: bias algoritma, ruang gema, ketagihan, rosot otak dan mudah percaya. Sementara faktor sedia ada: kurang berfikir dan malas mengkaji sendiri.
Bertajuk "Isu Zara dan krisis politik palatao", tulisan itu ditutup dengan kesimpulan (belum diedit):
Media konvensional pula sering menapis maklumat, suka mengangkat suara kerajaan, hanya memperelok citra pemimpin kerajaan dan jarang sekali membenar suara kritikan.
Namun, sejak muncul media internet, desas-desus itu bergerak sepantas kilat, lalu diyakini ada asasnya.
Sama ada angin bertiup atau binatang yang menggegarkan pokok, orang ramai masih berpegang "jika tiada angin, masakan pokok bergoyang". Desas-desus dianggap pasti ada kebenaran.
Dari sini bermulalah kitaran "palatao" yang mudah menghasut orang ramai yang suka menelan bulat-bulat, tanpa usul periksa lagi.
Sistem pendidikan pula, selama ini, memang menjurus ke arah menyuap maklumat kepada pelajar dan kurang orientasi berfikir atas kekuatan akal sendiri, apatah lagi seni berfikir kritikal dan kreatif.
Fathi Aris Omar
Maka dari satu generasi ke satu generasi, lahirlah masyarakat yang tidak mampu berfikir jernih atas apa sahaja sogokan maklumat.
Gejala "palatao", dicampur krisis mudah percaya membuta tuli, boleh memporak-peranda bangsa kita. Keraguan yang tidak munasabah sukar sekali dipadam.
Semua penafian dianggap usaha menyorok kebenaran dan tidak mungkin dipercayai lagi.
Penjelasan dan fakta terus-menerus dipertikai walau tiada asas untuk meraguinya. Wibawa maklumat retak berderai. Seterusnya ia mengganggu proses berfikir kolektif bangsa kita.
Sebaliknya, cerita palsu dan maklumat terseleweng akan membentuk naratifnya sendiri. Ia kemudian membina sistem pengetahuan palsu, proses berfikir palsu dan binaan kebudayaan palsu.
Struktur binaan pengetahuan yang rapuh ini tidak mungkin mampu menegakkan bangsa dan negara yang kuat, sebaliknya bangsa dan negara "palatao".
Di situ nanti, kita akan mulai sedar media sosial tidak banyak gunanya kepada bangsa yang lemah.
Media sosial sekadar alat eksploitasi syarikat gergasi asing untuk mengumpul kekayaan atas kesengsaraan bangsa pengguna!
(JEMPUT BACA apabila diterbitkan hari ini atau esok di portal Malaysiakini BM)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/09/kisah-palatao-di-sabah.html