Kisah Lalat Dan Semut Ubah Caramu Untuk Takdir Yang Berbeza
Kisah Lalat Dan Semut | Ubah Caramu Untuk Takdir Yang Berbeza. Bila kita mengharapkan sesuatu hasil yang luar biasa, adakah kita perlu berdiam dan masih melakukannya dengan cara lama? Berusaha ala kadar sahaja? Jika kamu keluarkan modal RM100, kamu mungkin dapat untung RM50. Tapi jika kamu keluarkan modal RM200, kamu mungkin dapat untung RM80. Begitulah adanya...
Kehidupan tetap menjanjikan kejayaan. Kepada mereka yang berusaha atau sebaliknya. Namun, jika kamu berusaha melebihi orang lain, menunjukkan kesunguhan yang luar biasa, maka kejayaan kamu berbeza dengan orang yang berusaha ala kadar sahaja.
Tirulah cara semut berusaha dan bekerja. Selain semangat berpasukan yang tinggi, semut juga amat rajin bekerja. Semut sanggup berjalan ’berjuta-juta batu’@ berpindah untuk mencari makanan dan akan membina populasi baru di tempat yang banyak makanan. Tahukah anda semut tidak akan tersesat mencari rumah mereka (semut) sendiri kerana semut akan membina jaringan jalan mereka sendiri dan akan berlaga serta ‘bersalam’ melalui sesunggut bila berjumpa sesama semut. Indahnya dunia semut, kan?
Kisah Lalat Dan Semut | Ubah Caramu Untuk Takdir Yang Berbeza
Beberapa ekor lalat sedang berpesta sisa makanan di atas sebuah tong sampah di depan sebuah rumah. Sedang menjamah sisa makanan, seekor lalat terlihat pintu rumah itu terbuka.
Pantas lalat itu terbang masuk ke dalam rumah sebelum terus menuju ke meja makan yang penuh dengan makanan lazat
“Aku sudah bosan makan sampah. Sekarang aku nak menikmati makanan segar." Kata lalat tadi penuh gembira
Setelah kenyang, lalat bergegas ingin keluar. Namun, pintu yang dimasuki tadi telah tertutup rapat
Lalat yang panik cuba melanggar pintu cermin itu. Tapi cubaannya sia-sia. Sedikitpun tidak berganjak. Tanpa mengala lalat itu terbang mengelilingi pintu kaca tadi dari atas ke bawah dan dari kiri ke kanan, cuba mencari lubang. Tetapi tiada ruang untuk si lalat keluar.
Lalat cuba memohon bantuan kawan-kawannya yang berada di luar pintu kaca tetapi dia sudah lemah tidak berdaya.
Tak jauh dari tempat itu, nampak serombongan semut merah berjalan beriringan keluar dari sarangnya untuk mencari makan. Dan ketika menjumpai lalat yang tak berdaya itu, serentak mereka mengerumuni dan beramai-ramai menggigit tubuh lalat itu hingga mati. Kawanan semut itu pun beramai-ramai mengangkut bangkai lalat yang malang itu menuju ke sarang mereka.
Dalam perjalanan, seekor semut kecil bertanya kepada rakannya yang lebih tua, “Ada apa dengan lalat ini, Pak Cik? Mengapa dia begitu nazak?”
“Oh.., itu selalu terjadi, ada saja lalat yang mati sia-sia seperti ini. Sebenarnya mereka ini telah berusaha, dia bersungguh-sungguh telah berusaha keluar dari pintu kaca itu. Namun, ketika tak jumpa jalan keluar, dia kecewa dan kepenatan hingga akhirnya jatuh terkulai dan menjadi menu makan malam kita.”
Semut kecil itu mengangguk-angguk. Namun masih terus bertanya lagi, “Saya masih tak faham, bukankah lalat itu sudah berusaha dengan sedaya upaya? Kenapa tidak berjaya juga?”
Sambil berjalan dan memikul bangkai lalat, semut tua itu menjawab, “Lalat itu adalah seorang yang tak kenal menyerah dan telah mencuba berulang kali, tetapi dia melakukannya dengan cara-cara yang sama saja.”
Semut tua itu memerintahkan rakan-rakannya berhenti sebentar lalu meneruskan ucapannya, namun kali ini dengan muka yang lebih serius, “Ingat anak muda, jika kamu melakukan sesuatu dengan cara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza, maka nasib kamu akan seperti lalat ini!”
Begitulah kisahnya.
Pengajaran daripada kisah lalat dan semut adalah kita harus berusaha dengan tingkat yang berbeza-beza untuk mendapatkan kejayaan keluar dari sesuatu kesulitan. Contohnya, sebagai mukmin yang mengharapkan syurga Allah, kita janganlah lupa mengerjakan segala suruhanNya. Tetapi ingat...bukan sekadar mengerjakan suruhan yang wajib sebaliknya meninggikan nilai ibadat kita dengan melakukan perkara-perkara sunnah yang lain.
Sesuatu yang baik datangnya daripada Allah. Jika kita tidak suka berbuat baik, terpulang...tetapi jangan halang orang lain untuk berbuat baik.
#Sebarkan bahagia Selamat membaca, Sebarkan bahagia
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aynorablogs.com/2015/12/kisah-lalat-dan-semut-ubah-caramu-untuk.html