Kilang Kayu Musnah Dijilat Api Dalam Kebakaran Tengah Malam
Radhi Muslim, Astro Awani                                                                                                 

                                Kebakaran  tidak melibatkan sebarang kecederaan tetapi mengakibatkan empat lori  hangus terbakar selain kilang yang terbakar 100 peratus. - Foto JBPM 
SANDAKAN: Sebuah kilang  yang menempatkan pelbagai stok kayu dan papan musnah dijilat api dalam  satu kebakaran di Jalan Lintas Sibuga, dekat Taman Anggerik, di sini,  awal pagi ini.
 Dalam kejadian membabitkan premis yang terletak  di kawasan seluas kira-kira 2,787 meter persegi itu, empat buah lori  turut musnah.
 Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan  Jimmy Lagung, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran  itu pada jam 12.07 tengah malam.
 Susulan itu, beliau bergegas ke lokasi kejadian bersama 13 anggota yang lain.
 "Apabila kami tiba dengan dua buah jentera penyelamat, didapati api  sedang marak dan pasukan kami bergegas menjalankan operasi mengawal api.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan berjaya mengawal kebakaran pada jam 1.20 pagi. Foto JBPM
 "Pada jam 1.20 pagi, api berjaya dikawal dan pemeriksaan mendapati,  kebakaran membabitkan sebuah kilang yang turut menyimpan stok kayu dan  papan.
 "Terdapat beberapa pengilang atau perniagaan dalam kilang  terbabit, antaranya pengilang memproses papan, perabot dan pembuat  khemah.
 "Stok kayu dan papan mereka semuanya musnah,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Kilang kayu berukuran 300 x 100 kaki persegi yang menyimpan stok kayu itu terbakar 100 peratus. Foto JBPM
 Selain empat lori yang hangus terbakar sepenuhnya, sebuah lagi lori dan  sebuah kereta Perodua Viva yang turut terkena bahang api berjaya  diselamatkan.
 Punca kejadian dan anggaran kerugian sebenar masih dalam siasatan, kata Jimmy.
 Tambahnya, pemeriksaan awal mendapati kejadian juga tidak membabitkan sebarang kecederaan.
 Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  (JBPM) Sabah, kilang kayu berukuran 300 x 100 kaki persegi itu terbakar  100 peratus.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/kilang-kayu-musnah-dijilat-api-dalam.html